
Meskipun berdarah kacukan dan memiliki rupa paras jelita, pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui dia tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang wanita yang cantik.
Artikel Berkaitan: ‘Orang Tanya Tentang Susuk, Saya Jawab Rutin Workout Saya Selama 28 Tahun’ – Sarimah Ibrahim
Tak rasa diri cantik

Sarimah, 48, berkata persepsi kecantikan adalah sesuatu yang subjektif dan bukan ukuran utama dalam membina kerjaya seni.
Saya tak pernah rasa diri saya ini cantik. Seperti hari ini pun, saya rasa masih ada kekurangan. Saya percaya ramai juga rasa begitu.
Sebab itu bila dapat watak Seroja dalam filem Pewaris Susuk, saya sangat tertarik. Saya nampak persamaan antara saya dan watak itu, iaitu sentiasa merasakan diri ada kekurangan.
Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Pewaris Susuk yang berlangsung di ibu kota, pada Selasa.
Mengulas mengenai faktor rupa paras dalam industri lakonan, Sarimah tidak menolak kemungkinan itu memainkan peranan, namun menegaskan bakat dan pengalaman jauh lebih penting untuk kekal relevan.
Mungkin rupa paras ada membantu, tetapi saya harap dengan filem ini dan penerimaan penonton, membuka ruang untuk mereka melihat lebih daripada sekadar wajah.
Sebagai pelakon wanita yang semakin berusia, tidak bermakna karier akan pudar. Kita tak semestinya terikat dengan watak stereotaip seperti penyondol sahaja.
Makin meningkat usia, makin banyak pengalaman hidup yang kita ada dan itulah kekuatan sebenar yang boleh dibawa ke layar. Pengalaman itu tidak boleh dibeli dan tidak boleh ditandingi dengan kecantikan semata-mata.
Kalau dulu mungkin perlu nampak cantik, tapi sekarang itu bukan lagi keutamaan. Yang penting bagaimana kita menghidupkan watak.
Watak Seroja

Berkongsi lanjut mengenai wataknya sebagai Seroja, Sarimah berkata terdapat adegan mencabar yang menuntutnya untuk berkaki ayam dan melakukan aksi lasak demi memastikan karakternya terasa realistik.
Sebagai pelakon, kita tak boleh berpura-pura. Kalau nak jadi, kita kena buat betul-betul. Bagi saya, tak cukup sekadar nampak cantik.
Dengan bantuan kesan khas, saya sangat seronok dapat lakukan semua adegan itu. Kalau cedera sekalipun, saya ketepikan. Yang penting penonton dapat ‘rasa’ watak tersebut, bukan sekadar melihat.
Dulu orang hanya lihat dan dengar kita. Sekarang saya mahu mereka rasa lakonan itu dan bagi saya, itu lebih penting.
Filem bergenre seram thriller arahan Faizal Nadxaman dan nukilan Naza Manas ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 April.
Selain Sarimah, filem terbitan Primeworks Studios dan Anomali Media ini turut dibintangi, Datuk Rosyam Nor, Alya Iman, Trisha Ooi, Sherie Merlis dan Dayang Fajra.








