Pelakon, Zahiril Adzim menegaskan dirinya sentiasa mengutamakan kebahagiaan isteri dan anak, selain memastikan segala komitmen serta tanggungjawab sebagai ketua keluarga terus terpelihara.

Artikel Berkaitan: Zahiril Adzim Tak Kisah Berganding Dengan Heroin Kontroversi, Isteri Pesan Jaga Diri Di Set Penggambaran

Utamakan isteri & anak

Zahiril, 41, berkata, dia kini menjadi tulang belakang keluarga memandangkan isterinya, Syera Ayob tidak lagi bekerja. Namun, perkara itu tidak pernah menjadi beban kerana mereka sentiasa membuat perancangan ekonomi yang baik.

Setakat ini saya seorang saja yang bekerja, Syera tak bekerja. Tapi kami tak ada masalah dari segi komitmen kewangan dan sebagainya. Syera pun sangat memahami.

Sebagai suami, saya sentiasa cuba membahagiakan isteri. Orang selalu kata kalau nak murah rezeki, bahagiakan isteri. Duit yang kita dapat itu sebenarnya untuk mereka.

Jadi sekarang saya tanam dalam kepala, apa saja yang saya keluar cari rezeki adalah untuk isteri dan anak saya.

Zahiril berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama terbaharu lakonanya berjudul Aku Pilih Pelangi yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

Tambah aktor itu lagi, dia tidak pernah berkira dalam soal memenuhi keperluan isteri kerana percaya rezeki akan sentiasa ada.

Kalau apa yang saya ada, saya bagi saja pada isteri. Alhamdulillah rezeki saya tetap ada. Syera pula bukan jenis yang mementingkan kehidupan mewah. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada pun dia okey.

Isteri saya tahu mana yang lebih utama, contohnya anak dan persekolahan. Kalau ada lebih, barulah dia akan tanya untuk beli sesuatu.

Zahiril turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang disifatkan sebagai ibu terbaik buat anak mereka.

Saya sangat bersyukur. Syera seorang ibu yang sangat baik. Dari anak kecil, saya nampak dia boleh membaca pada usia sangat awal hasil didikan Syera. Ibu itu madrasah anak. Bagi saya, tak ada ibu lain yang lebih layak untuk anak saya selain Syera.

Untuk rekod, Zahiril dan Syera mendirikan rumah tangga pada 2011. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nadi Anaqi.

Dalam perkembangan lain, Zahiril muncul dalam drama terbitan Viu berjudul Aku Pilih Pelangi bergandingan dengan Mira Filzah.