berita

‘Saya Terpengaruh Cerita CSI’- Individu Tuduh Nora Anne Dirogol Orang Asli Mohon Maaf

August 16th, 2019 | by Athirah
Kini Trending

Pepatah ada mengatakan, terlajak perahu boleh berundur terlajak kata buruh padahnya.

Itulah yang berlaku kepada seorang pengguna Twitter ini apabila dia kini dalam buruan polis selepas mengeluarkan kenyataan yang tidak benar berhubung kematian pelancong warga Ireland Nora Anne Quoirin.

Seakan menyedari perkara tersebut, sepucuk surat yang dipercayai dimuat naik oleh individu terbabit tersebar bagi memohon maaf secara terbuka atas ketelanjurannya menuduh Nora Anne dirogol Orang Asli.

Saya terlalu mengikut perasaan

Individu tersebut yang dikenali sebagai Zikri Armstrong berkata tweet yang dibuatnya sebelum ini dilakukan kerana terlalu mengikut perasaan selepas mengikuti kes itu daripada media.

Katanya, secara peribadi dia sendiri sedih dan bersimpati dengan nasib yang berlaku ke atas Nora dan keluarganya.

Saya sedar, post morterm sedang dijalankan  dan saya tidak patut membuat sebarang spekulasi sama ada dia dirogol, dibunuh atau diculik bunian. Apatah lagi menyebarkannya di sosial media yang sangat laju untuk viral zaman sekarang.

Tak pernah pandang serong terhadap Orang Asli

Dalam permohonan maafnya yang kini tersebar di media sosial itu, dia turut menyatakan bahawa dirinya tidak pernah memandang serong terhadap Orang Asli malah menghormati mereka seperti orang lain.

Dia juga sedar bahawa tweet tersebut mampu merosakkan imej mereka yang tidak bersalah dan menyesal dengan apa yang telah ditulis olehnya sebelum ini.

Untuk pengetahuan semua, saya pernah bersekolah asrama di Negeri Sembilan dan mempunyai beberapa rakan yang dari keluarga Orang Asli dan saya tak pernah memandang serong terhadap mereka. Saya menghormati mereka seperti manusia lain.

Pengaruh cerita CSI

‘Menjelaskan’ tweet yang dibuatnya itu, dia berkata ia ditulis kerana terjebak dengan filem seperti CSI malah gemar membuat andaian tidak matang.

Selepas mengakui teruk dikecam netizen akibat daripada tweetnya, dia memutuskan untuk berehat daripada semua media sosial dan ‘muhasabah diri’ atas kesilapan yang dilakukannya itu.

Setulus hati saya minta maaf dan berjanji untuk tidak mengulangi perkara yang sama.

Sumber: Twitter @Amirul_Kamil