Bersempena bulan yang mulia ini, impian seorang wanita yang dikenali sebagai Teo Chu Bee, 74 tahun, untuk memeluk Islam akhirnya tercapai. Alhamdulillah!
Menerusi laporan Berita Harian, wanita tersebut memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu. Tahun ini merupakan pengalaman petama buat dirinya berpuasa seperti umat Islam yang lain.
66 tahun pendam impian
Menurut wanita tersebut, sudah 66 tahun dia memendam impian untuk memeluk Islam. Sejak usianya lapan tahun lagi, dia tertarik dengan kelas agama yang diajar oleh seorang ustaz di sekolah rendahnya di Besut, Terengganu. Walaupun usianya sudah lanjut, dia tetap bersyukur dirinya sudah bergelar muslim.
Saya tengok kawan sembahyang dan mengaji al-Quran menyebabkan saya tertarik, tetapi pada masa sama saya takut. Saya hanya diam memandangkan keluarga saya ramai dan takut mereka tidak setuju serta marah.
Alhamdulillah, apabila pindah ke Kelantan, saya terjumpa kawan lama yang bekerja di sebuah bank di Kota Bharu dan dia tahu perasaan saya pada Islam.
Tiada masalah puasa penuh
Beranggapan mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah, dia telah memilih nama Nur Hidayah Bee Teo sebagai nama Islam. Dia telah mengucap dua kalimah syahadah di sebuah bank iaitu tempat rakannya bekerja sebelum melakukan perkara tersebut di Balai Islam Lundang.
Dia sering tanya saya bila mahu masuk Islam dan memaklumkan jangan tunggu lama dan saya kata nanti dulu. Namun pada suatu hari, saya rasa bersedia dan terus mengucap dua kalimah syahadah sambil menangis.
Saya sebenarnya tiada masalah nak puasa penuh dan tahun ini lebih semangat sebab dah masuk Islam. Saya juga tak sabar nak ke masjid untuk solat tarawih.
Boleh baca al-Quran
Wanita tersebut telah mendapatkan bimbingan berkaitan Islam melalui Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Kelantan. Selain itu, dia turut belajar mengaji dengan seorang ustazah di Masjid Muhammadi seminggu sekali. Kini, dia boleh menghafal surah al-Fatihah dan membaca al-Quran.
Sumber: Berita Harian