Biarpun belum diberikan rezeki untuk tambah anak, pelakon dan pengacara Nabila Huda tenang dengan aturan Allah SWT.
Artikel Berkaitan: Ingin Luang Masa Bersama Keluarga Mentua, Nabila Huda Tolak Ajakan ‘Selfie’ – ‘Ini Adalah Percutian Ketiga Kami Bersama Lepas 6 Tahun Berkahwin’
Nak anak ramai
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Abil, dia tidak ada perancangan untuk melakukan kaedah rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF) biapun sudah tujuh tahun usia perkahwinannya dengan suami, Mohd Izwan Johar.
Kata Abil, 38, dia sudah berusaha namun dia reda rezeki anak belum berpihak kepada dia dan suami.
Saya sudah berkahwin (buat kali kedua) selama tujuh tahun. Siapa yang tidak mahukan anak? Anak sulung saya, Keisha Laila pun sudah besar.
Kalau boleh setiap tahun saya mahu dapat zuriat sebab nak anak ramai. Kami sudah berusaha tetapi rezeki tidak sampai lagi.
Pemilik nama Nur Nabila Huda Suhaimi juga memberitahu dia dan suami sudah membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat tubuh badan.
Produk pertama
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi legend rock Amy Search menyatakan suaminya tidak menggalakkan untuk dia melakukan IVF kerana prosedur itu menyakitkan.
Saya tidak mahu buat IVF sebab saya pernah hamil sebelum ini. Lagipun suami kata tak payah sebab sakit. Dia tidak mahu lihat saya menanggung kesakitan.
Saya sibuk bekerja. Lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa. Insya-Allah jika diberi rezeki, mana tahu tiba-tiba esok lusa saya hamil. Apa-apa pun tunggu sajalah.
Abil ditemui ketika majlis pelancaran Frutti Tutti yang diadakan di Momos Hotel, pada Sabtu. Bercerita lebih lanjut, pelakon drama Lockdown berkata ini langkah pertama untuk dia mendalami dunia perniagaan.
Sebenarnya, produk ini sudah lama saya hasilkan iaitu sejak November, tahun lalu. Namun, dek kesibukan kerja, baharu sekarang diberi ruang melancarkannya.
Ini adalah produk pertama saya. Saya tak pernah mengeluarkan sebarang produk, melainkan menjadi duta kepada produk rambut dan wajah.
Jadi, apabila jumpa produk yang saya tahu bagaimana hendak dipromosikan, mengapa tidak saya mencuba. Insya-Allah, ini adalah permulaan untuk saya menimba pengalaman dalam bidang perniagaan.
Sumber: Instagram @kupu_kupu