Pemain gitar legenda, Man Kidal meluahkan rasa lega apabila akhirnya dapat menunaikan hasrat arwah sahabatnya yang dikenali sebagai Kidat untuk menerbitkan lagu raya berjudul Aspirasi Raya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Melodi Perkenal MV ‘Lagu Raya Untukmu’ Nyanyian Hael Husaini, Gabung Elemen Moden & Klasik

Tunaikan hasrat arwah

Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 65, berkata lagu tersebut sebenarnya sudah lama disimpan sebelum diputuskan untuk diterbitkan pada Syawal 2026.

Lagu ini sebenarnya sudah empat tahun disimpan. Arwah sahabat saya bernama Kidat pernah memberi mandat kepada saya untuk menerbitkannya, dan mungkin sekarang inilah masanya yang paling sesuai.

Saya hanya menunaikan hasrat arwah Kidat. Walaupun dia sudah tiada, sekurang-kurangnya saya telah melaksanakan amanah yang ditinggalkannya.

Arwah Kidat ialah sahabat baik saya. Hubungan kami menjadi sangat rapat selepas PKP. Walaupun dia bukan seorang pemuzik, dia sangat meminati muzik.

Man berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Aspirasi Raya yang berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Karya tersebut menampilkan gabungan Man Kidal & Friends bersama penyanyi Syamel Amzah.

Dalam pada itu, Man turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sulaiman selaku Pengarah Timeless Studio yang bertindak sebagai penerbit lagu berkenaan.

Lekat di hati

Sulaiman berharap lagu tersebut mampu mendapat tempat di hati pendengar serta menjadi antara lagu pilihan sepanjang sambutan Aidilfitri.

Timeless Studio merupakan syarikat yang masih baharu bertapak. Kerjasama ini juga diharap dapat membuka peluang untuk kami menerbitkan lebih banyak lagu bersama Man Kidal pada masa akan datang.

Terima kasih juga kepada Nawy kerana terlibat dalam projek ini dan memberi sokongan kepada kami untuk terus berkarya. Semoga lagu ini mendapat tempat di hati pendengar.

Sementara itu, Syamel tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan pemuzik legenda tersebut.

Banyak ilmu baharu yang saya peroleh ketika berjumpa dengan abang Man Kidal dan rakan-rakan. Ia satu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

Saya juga mengambil sedikit masa untuk bersetuju menjayakan projek ini kerana sebelum ini saya lebih selesa melakukan live host berbanding menyanyi secara serius. Namun saya anggap ini sebagai rezeki dan peluang yang sangat berharga.

Lagu Aspirasi Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi YouTube.