
Zaman sekarang, kanak-kanak semakin awal terdedah kepada dunia digital. Sama ada menerusi tontonan video, permainan dalam talian sehinggalah kepada dunia media sosial.
Internet sudah jadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Namun di sebalik kemudahan ini, wujud satu realiti yang membimbangkan, terdapat juga risiko eksploitasi seksual kanak-kanak dan penipuan dalam talian (CSAM) yang semakin meningkat dan ia bukan lagi isu terpencil.
Platform kini tidak boleh lepas tangan
Di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act – ONSA), kerajaan memperjelaskan satu perkara penting iaitu tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak lagi terletak pada ibu bapa dan pengguna semata-mata malah turut dipikul oleh platform digital itu sendiri.
Platform berlesen diwajibkan mengambil langkah aktif untuk mengesan, menyekat dan menyingkirkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dengan lebih pantas dan berkesan.
Ini termasuklah keperluan reka bentuk platform yang lebih selamat, tetapan mesra kanak-kanak, kawalan ibu bapa serta mekanisme laporan yang mudah diakses.
Kenapa scam masih berleluasa?
Menurut Pakar Kriminologi, Datuk Seri Dr Akhbar Satar, kewujudan sistem keselamatan semata-mata tidak cukup untuk membendung jenayah digital.
Antara faktor utama scam terus merebak adalah:
1. Faktor manusia
Scammer mengeksploitasi emosi seperti takut, tamak, simpati dan terdesak. Walaupun sistem keselamatan canggih, kesilapan manusia seperti panik atau mudah percaya masih berlaku.
2. Teknik scam semakin canggih
Penggunaan spoofing, akaun palsu yang kelihatan sah, deepfake suara dan wajah, serta mesej menyerupai agensi rasmi menjadikan penipuan semakin sukar dikesan.
3. Penguatkuasaan undang-undang yang mencabar
Banyak kes melibatkan sindiket rentas sempadan, menyukarkan siasatan, penjejakan wang dan pendakwaan.
4. Kesedaran awam tidak menyeluruh
Golongan warga emas, peniaga kecil dan pengguna baharu teknologi sering menjadi sasaran kerana kurang pendedahan literasi digital.
5. Mangsa enggan melapor
Ada yang malu, anggap kerugian kecil, atau takut perkara lain terbongkar — menyebabkan penjenayah terus bebas beroperasi.
6. Terlalu bergantung pada teknologi keselamatan
Hakikatnya, tiada sistem yang 100% kebal tanpa sokongan pemikiran kritikal pengguna.
7. Untung besar, risiko rendah
Scam menawarkan pulangan tinggi dengan risiko ditangkap yang masih rendah berbanding jenayah lain.
ONSA Ubah Landskap Keselamatan Digital
Menerusi penguatkuasaan ONSA, platform digital tidak lagi boleh sekadar memberi amaran atau menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna.
Sebaliknya, perlindungan kanak-kanak dan pencegahan penipuan kini menjadi teras reka bentuk dan operasi platform, bukan sekadar pilihan tambahan. Hal ini bermakna:
- Kanak-kanak tidak dibiarkan berhadapan risiko seorang diri
- Platform wajib bertindak, bukan hanya bertindak selepas kejadian
- Keluarga boleh menggunakan internet dengan lebih yakin dan selamat
Internet hanya boleh menjadi ruang yang selamat apabila semua pihak memainkan peranan manakala ONSA memastikan platform turut dipertanggungjawabkan sepenuhnya.
Semua ini dijalankan kerana menerusi dunia digital hari ini, keselamatan bukan lagi pilihan malah ia satu keperluan.