Pernah tak korang ternampak iklan pelaburan mencurigakan, pautan scam atau promosi judi online ketika melayari internet?

Walaupun nampak seperti perkara biasa, kandungan sebegini boleh membawa kesan serius, termasuk kerugian wang dan risiko keselamatan kepada pengguna.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak dan golongan rentan juga berisiko terdedah kepada kandungan yang tidak sepatutnya.

Jadi, siapa perlu bertanggungjawab apabila kandungan berbahaya terus tersebar?

Keselamatan pengguna perlu jadi keutamaan

Kredit: freepik

Tanggungjawab menangani kandungan berbahaya bukan terletak pada pengguna dan pihak berkuasa semata-mata.

Platform digital juga mempunyai teknologi, sumber dan keupayaan untuk mengesan kandungan berisiko. Sebab itu, mereka perlu mengambil tindakan proaktif dan bukan sekadar menunggu laporan orang ramai sebelum bertindak.

Dalam usaha melindungi pengguna, keselamatan kanak-kanak dan golongan rentan juga tidak boleh dipandang ringan.

Platform digital perlu memastikan mekanisme perlindungan berfungsi dengan baik bagi mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Pada masa sama, kepentingan komersial sesebuah platform tidak sepatutnya mengatasi tanggungjawab menjaga keselamatan pengguna.

MCMC failkan saman terhadap kandungan berbahaya

Isu akauntabiliti platform digital turut mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pada 25 November 2026, MCMC memaklumkan pemfailan dua saman berhubung dakwaan kegagalan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan berbahaya di YouTube, termasuk perjudian dalam talian, scam dan penipuan.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih tertakluk kepada proses kehakiman dan belum diputuskan oleh mahkamah.

Tindakan ini selari dengan usaha memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang turut menegaskan kepentingan pematuhan syarikat teknologi terhadap undang-undang Malaysia.

Internet selamat perlukan tanggungjawab bersama

Pengguna sememangnya perlu berhati-hati ketika melayari internet. Namun, platform digital juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dalam menangani kandungan yang memudaratkan.

Apa yang penting, platform digital bukan sekadar menyediakan ruang untuk berkongsi kandungan, tetapi turut memainkan peranan dalam memastikan ruang tersebut selamat untuk semua.