Baru-baru ini viral di media sosial seorang isteri menemani suaminya ke majlis akad nikah isteri kedua. Bukan itu sahaja, dia juga menganggap madunya itu seperti adik sendiri.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Terima Madu Bak Adik Siap Teman Suami Nikah, Isteri Mithali Raih Pujian
Lebih menarik perhatian lagi, dia sendiri membuat persiapan majlis perkahwinan baharu suaminya itu. Menerusi Sinar Harian, wanita yang dikenali sebagai Rosyilah Abd Rashid mendedahkan dia tidak pernah menghalang suaminya berpoligami.
Calon isteri kelapan
Katanya lagi, dia sendiri membantu suami mencari calon untuk dijadikan isteri kedua. Ujar guru sains ini lagi, madunya merupakan calon kelapan yang berjaya mencuri hati mereka berdua.
Saya tidak halang suami untuk berpoligami lagi sebab suami hajat untuk berpoligami selepas kami berkahwin.
Sebelum ini ada tujuh calon, namun mereka semua menolak disebabkan oleh tidak setuju dengan poligami ini.
Menceritakan dengan lebih lanjut, calon kelapan iaitu Nurul Ain hadir temu duga di syarikat milik suami pada 1 Februari lalu bagi jawatan eksekutif pemasaran.
Semasa temuduga saya tengok reaksi suami suka pada wanita itu dan saya boleh baca dan faham keadaannya selepas dia diterima kerja sehari kemudian.
Seminggu selepas itu suami menyatakan hasrat kepada Ain dan setuju untuk kahwin sebelum mereka bertunang pada 15 Mac lalu.
Semasa majlis pertunangan, Rosyilah sendiri menyarungkan cincin ke jari Nurul Ain malah menjadi tulang belakang dalam menyiapkan urusan perkahwinan suami yang merupakan pengetua sekolah agama di Padang Terap.
Dah redha dengan poligami
Selepas berkahwin, saya berjanji dengan diri sendiri, kalau ada orang lain nak masuk dalam kehidupan ini (poligami) saya terima selepas tanya pendapat kawan-kawan lain untuk fahami poligami.
Kita bila dah reda tentang poligami benda jadi biasa walaupun pada awalnya agak sukar. Saya sudah bersedia lebih awal untuk masuk dalam dunia berkongsi kehidupan seperti ini.
Difahamkan, dia juga sudah bersedia dengan poligami sejak lima tahun lepas. Pada tahun 2015, Rosyilah yang merupakan seorang ibu tunggal kepada dua anak perempuan berkahwin dengan suami, Khubaib Ramli. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata.
Suaminya pula mempunyai enam anak iaitu dua perempuan dan empat lelaki hasil perkahwinan yang pertama. Menurutnya, lapan anak tinggal bersama mereka manakala anak bongsu suami tinggal bersama bekas isteri di Kelantan.
Sumber: Sinar Harian