Seorang lelaki sama sekali tidak menyangka menjadi saksi kemalangan maut melibatkan bapanya, di simpang lampu isyarat Bandar Seri Cendana di Sungai Petani, Kedah hari ini.

Artikel Berkaitan: Ubai Imbas Detik Cemas, Tiga Kali Nyaris Maut Dalam Kemalangan – ‘Berguling Atas Highway, Kereta Elak Langgar Saya

Bapa mangsa kemalangan

Memetik laporan Berita Harian, mangsa Wan Mohd Shamsury Wan Mohd Samsudin, 48, dipercayai keluar dari kediamannya di Bandar Seri Astana untuk ke tempat kerja di Butterworth, Pulau Pinang sebelum terlibat dengan kemalangan jam 8.40 pagi.

Anak kepada mangsa iaitu Wan Muhammad Shah Danial Wan Mohd Shamsury, 25, berkata, dia secara kebetulan melalui jalan yang sama pada waktu bapanya menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum ini, saya hanya melihat berita memaparkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal di tempat lain namun tidak menyangka perkara sama berlaku pada bapa saya sendiri, terkejut sangat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan memaklumkan insiden berkenaan berlaku ketika sebuah kereta dari arah Taman Sejati membelok ke kanan ke Bandar Seri Cendana dan memasuki laluan motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah Bandar Perdana ke Taman Sejati.

Mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim manakala pemandu kereta itu dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Menurut Hanyan, hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta yang melanggar lampu isyarat dan memasuki simpang tersebut telah menyebabkan mangsa melanggar bahagian sisi sebelah kiri kenderaan miliknya.

Kes ini kemudian disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Berita Harian