
Selepas lebih dua dekad mewarnai dunia seni tanah air, pelakon Nur Fazura membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan pengundurannya daripada membintangi drama televisyen tempatan.
Artikel Berkaitan: Kejutan! Fazura Diumum Sebagai Wajah Kolaborasi Eksklusif Fenomena Raya 2026
Bersara bintangi drama

Fazura, 43, berkata keputusan itu dibuat selepas menilai beberapa perkara, termasuk keinginan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.
Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya bercakap dengan ‘beralas’. Buat masa ini, secara rasminya saya umum bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia.
Dari segi filem pula, saya masih terbuka bergantung kepada projek. Fokus saya kini lebih kepada filem, sama ada di Malaysia dan Indonesia.
Tetapi untuk drama, memang secara rasmi saya bersara daripada semua lakonan drama di stesen TV tempatan.
Fazura berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur pada Khamis.
Pada acara sama, aktres itu turut diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif Koleksi Raya 2026.
Mengulas lanjut, Fazura menjelaskan kekangan masa serta komitmen penggambaran drama yang panjang antara faktor utama dia mengambil keputusan untuk berundur.
Sejujurnya, saya sudah tidak mempunyai masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan komitmen penggambaran panjang.
Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami ‘separation anxiety’ (kebimbangan akibat perpisahan). Dia tak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama.
Kalau saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia akan cari saya. Kalau tidur pun dia tunggu saya balik. Ia adalah satu keputusan besar, namun saya tekad. Namun kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan.
Dalam masa sama, Fazura memaklumkan dirinya masih aktif dan terbuka untuk meneruskan kerjaya seni dalam bidang muzik di bawah naungan Universal Music Malaysia.
Untuk bidang muzik pula, masih ada beberapa perancangan, termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.
Sekarang saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional, kerana minat saya tetap pada lakonan.
Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jadi jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, insya-Allah mudah-mudahan ada lagi selepas ini.
Kemunculan terakhir Fazura di layar kaca adalah menerusi drama Lelaki Itu yang disiarkan di Slot Samarinda TV3 pada 2024








