Pelakon, Shahronizam Noor, 51, putus jari kelingking selepas pisau terlepas daripada pegangan ketika memotong ayam di rumahnya, semalam.
Reda dengan ujian
Menerusi laporan Berita Harian, suami kepada penyanyi Safura Yaacob itu dikejarkan ke Hospital Ampang selepas jari kelingking terkulai dan putus.
Menurut anak tiri Shahronizam iaitu Daniel, kejadian tersebut berlaku selepas mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah.
Abah mahu memotong ayam untuk diberikan kepada kucing peliharaan. Malangnya, pisau yang dipegang tersasar lalu terkena jari kelingkingnya ketika sedang memotong ayam.
Melihat jari kelingking terkulai dan putus, kami segera membawa abah ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan selepas melihat kecederaannya teruk.
Tambah Daniel, petugas perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka, manakala jari kelingking yang putus dimasukkan dalam bekas serta dibekukan.
Ketika itu, tiada doktor pakar, yang ada hanya petugas perubatan. Abah bernasib baik kerana mereka berjaya menghentikan pendarahan walaupun jari kelingking sudah putus.
Petugas perlu tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari kelingking boleh disambungkan atau sebaliknya. Namun, doktor pakar mengesahkan jari kelingking tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri sudah putus.
Disoal mengenai keadaan terkini Shahronizam, Daniel berkata bapa tirinya semakin stabil.
Walaupun sedih tiada lagi jari kelingking, abah reda dengan ujian menimpanya pada Ramadan ini. Keadaan abah semakin stabil dan kini sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh sepenuhnya.
Sumber: Berita Harian