berita

‘Segulung Ijazah, Sekujur Jasad Ibu’ – Ibu Meninggal Dunia, Hasrat Lihat Anak Ambil Ijazah Tidak Kesampaian

November 18th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Hasrat seorang ibu untuk melihat anak lelaki mengambil ijazah tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis. Tidak dapat dibayangkan perasaan yang perlu dihadapi graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Fahim Shamsuddin apabila saat gembira diganti dengan pemergian ibu.

Berita sedih yang disampaikan Syirfan Indra menerusi sebuah posting di Facebook ini mendapat simpati ramai. Netizen mengucapkan takziah dan diharapkan Muhammad Fahim tabah dengan dugaan yang menimpa.

Segulung ijazah, sekujur jasad ibu

Segulung Ijazah, Sekujur Jasad Ibu…

Bagaimana mahu mengambil keputusan – antara hadir konvokesyen ijazah pertama atau hadir sebuah majlis pengkebumian.

Itulah yang di alami graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Fahim Shamsudin yang sewajarnya bergraduat dalam sesi Konvokesyen UMT hari ini terpaksa memilih untuk berada di atas pentas menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) atau menyempurnakan majlis pengkebumian ibunya yang meninggal dunia 12.20 malam tadi akibat kompilasi darah tinggi dan kencing manis.

Lebih menyedihkan kerana arwah sudah berada di Terengganu dan sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut. Fahim sempat menyarungkan jubah konvo kepada ayahnya dan hanya sempat menunjukan kepada ibunya.

Antara pilihan hadir majlis konvokesyen yang mungkin sekali seumur hidupnya, Fahim lebih yakin memilih untuk menyempurnakan majlis pengkebumian ‘cinta hatinya’ yang juga sekali seumur hidup.

Mengendong ayah yang uzur

Pada tika melihat dia mengendong ayahnya yang uzur, fahamlah saya bahawa anak muda ini bukan calang-calang anak. Nampak segala tanggungjawab akan terbeban di bahunya. Berat namun dia mampu. Dengan keyakinan dia memilih ‘cinta hatinya’ melebihi segulung ijazah – dia akan berjaya dengan segala restu.

Walaupun UMT menawarkan untuk beliau boleh memilih untuk naik di pentas paling awal atau paling akhir bagi memudahkan urusan pengkebumian, Fahim menolak dengan ketegasan seorang anak lelaki yang baik. Menyempurnakan pengkebumian dan bersama seisi keluarga jauh lebih utama.

Saya melihat kisah ini sebagai cerminan kepada apa itu pendidikan yang berjaya. Ia harus memperkasa daya fikir dengan memberi refleksi pada sesuatu situasi dengan penuh hikmah, ehsan dan kearifan. Ia bukan kebijaksanaan semata-mata. Segulung ijazah hanyalah tanda kecil pada ilmu, selebihnya adalah gerak hidup dan kehidupan, fikir manusia dan kemanusiaan.

Selamat berangkat Puan Rahayu

UMT wajar berbangga berjaya membentuk seorang Fahim. Kekar, tegas, berjiwa dan berfikir dengan asas nilai yang betul. Kita perlukan lebih ramai Fahim. Selamat berangkat Puan Rahayu Abu ke negeri abadi. Tenanglah Puan di sana. Puan telah tinggalkan seorang Fahim yang hebat. Fahim pasti akan hidup dengan kuat. Terima kasih Fahim kerana mengajar sesuatu.

UMT Sohor!

Menerusi laporan Harian Metro, ibu Muhammad Fahim sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen anak dan mereka telah bertolak ke Terengganu pada Jumaat. Namun ketika menginap di rumah bapa saudara di Kampung Tok Jembal, ibu jatuh sakit dan disahkan meninggal dunia di hospital.

Sumber : Syirfan Indra

SKIP THIS AD ×