Bulan Ramadhan kali ini tambah bermakna apabila team OHBULAN! dapat turun padang untuk membantu serta berkongsi rezeki bersama Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda. Selain daripada membantu dari segi keperluan, kempen Ramadan Raya 2023 ini merupakan salah satu usaha untuk mendekati orang ramai.
Sebelum ini team Sirap Limau telah membuat jelajah di bahagian utara dan pantai timur. Pada 4 April 2023, kami meneruskan perjalanan ke bahagian Selatan, iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Lokasi yang dilewati
Kawasan Teluk Kemang merupakan lokasi pertama kami. Di mana kami telah singgah sebentar di Pejabat Kerajaan Port Dickson, Balai Bomba Teluk Kemang dan Bazaar Ramadhan Teluk Kemang untuk memberi pek iftar.
Pada keesokannya hari, kami turun ke Melaka (Kawasan Dataran Pahlawan dan Bazaar Ramadhan Klebang) pula. Juga dengan misi yang sama, iaitu memberi pek iftar kepada orang ramai.
Selepas dua hari memberi pek iftar kepada orang ramai, misi kami seterusnya adalah untuk membantu di lokasi yang terpilih, iaitu di Pondok Darul Mutaqqin. Antara aktiviti yang dilakukan di sini ialah membersihkan kawasan dan halaman pondok itu dan juga membantu untuk menyediakan makanan untuk berbuka.
Selesai misi kami di Melaka, kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Lokasi seterusnya ialah di Rumah Anak Yatim Shafar. Selain dari krew Seindah Kasih dan pelajar-pelajar Politeknik Johor Bahru, kami juga dibantu oleh 30 orang wakil dari Askar 7MP Johor Bahru.
Di rumah anak yatim ini, aktiviti agak berbeza dari sebelumnya, di mana kami membuat gotong-royong mengecat tembok dan mural istimewa ‘Seindah Kasih’ dan juga aktiviti kumpulan bersama pelajar politeknik Johor Bahru. Antara aktivitinya ialah melukis di sampul dan kad raya serta menganyam ketupat.
Lokasi terakhir sekali, kami ke Masjid Uni Sabak yang terletak di Johor Bahru. Aktiviti di sini agak meriah sedikit kerana dari seawal 10 pagi, skuad Seindah Kasih, AJK serta Kariah masjid telah bersedia untuk aktiviti rewang iftar dan bubur lambuk.
Pada sebelah petang pula ada tazkirah khas dari pendakwah, Azam Al Kankari. Selepas selesai, kami turun ke bazaar batu pahat untuk mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.
Pengakhiran jelajah!
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=IZpa5cUW4NY]
Setelah lima hari ke bahagian Selatan, akhirnya jelajah kami berakhir. Boleh dikatakan ini merupakan pengalaman berharga team OHBULAN! untuk turun membantu dan menyantuni orang ramai yang selama ni memberi sokongan bukan sahaja kepada OHBULAN!, malah kepada platform platform lain yang bernaung di bawah syarikat Media Prima.
Selesai di bahagian utara, pantai timur dan selatan, seterusnya kami akan ke bahagian Lembah Klang, Gombak, Sepang dan Bangi pula! Follow Instagram ohbulanofficial kami untuk update terkini ok! Mana tahu boleh jumpa. Selamat berpuasa!