berita

‘Sejak Akhir Ini, Itu Soalan Diutarakan Setiap Hari’- Hasrat Pesakit Kanser Tahap 3 Nak Beraya Di Kampung Tercapai

May 3rd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Facebook Natipah Abu

Hasrat seorang pesakit kanser otak tahap tiga yang mahu pulang dan beraya bersama datuk dan nenek di kampung halamannya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, Pokok Sena, Kedah akhirnya tercapai selepas dia ‘diterbangkan’ menggunakan helikopter milik Tan Sri Syed Azman Bin Syed Ibrahim.

Hasrat nak balik kampung

Foto: Facebook Natipah Abu

Menerusi perkongsian seorang aktivis masyarakat iaitu Natipah Abu di Facebook, selepas dimaklumkan tentang hasrat Aifa, dia bercadang mahu menyewa bot laju untuk membawa gadis ini pulang ke kampung halamannya tetapi sayangnya keadaan kesihatan Aifa tidak mengizinkan. Hal ini kerana, hentakan ombak sepanjang perjalanan tersebut akan membuatkan Aifa ‘sakit’.

Susulan daripada itu, Natipah tidak henti-henti mencari cara lain dan meminta bantuan kepada pelbagai pihak termasuk tokoh korporat yang juga Pengarah Urusan Weststar, Tan Sri Syed Azman Bin Syed Ibrahim. Dalam kesempatan itu, Natipah meluahkan rasa syukur kerana Tan Sri Syed Azman bermurah hati menghulurkan bantuan membawa pulang adik Aifa ke kampung halamannya.

Dah 3 tahun tak balik kampung

Foto: Facebook Natipah Abu

Menurut Natipah lagi, adik Aifa yang baru berusia 15 tahun ini sudah menghidap kanser otak sejak dia berusia 8 tahun lagi. Jelasnya lagi, gadis ini sudah tiga tahun tidak pulang ke kampung halaman disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Tok dan Tok Wan selalu turun ke Langkawi melawat Aifa tapi Aifa rindukan kampung. Bukan Aifa saja yagn dah lama tak balik, ahli keluarga lain pun begitu. Sejak Aifa mulai lemah dan terlantar, mereka sekeluarga tak pernah balik lagi ke kampung kerana bukan mudah hendak mengusung Aifa naik dan turun feri.

Bercerita dengan lebih lanjut, Natipah memaklumkan kemungkinan tiada lagi cara lain untuk mengubati penyakit tersebut kerana ianya telah pun merebak ke seluruh saraf tunjang sehingga menjejaskan segala deria Aifa. Lebih meruntun hati apabila melihat keadaannya yang semakin lemah dan wajah serta tubuh badannya juga sudah membengkak. Tidak terhenti di situ, gadis ini kadangkala menangis, menjerit dan memegang kepalanya untuk menahan sakit.

Saban hari, dia bertanya kepada si ayah, bila dia dapat pulang ke kampung. Ayah mana yang tidak sedih, bila merasakan selama ini anak itu tidak pernah meminta apa-apa pun dari dia. Tetapi sejak akhir-akhir ini, hanya itulah soalan yang diutarakannya setiap hari.

Dalam kesempatan itu, Natipah meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana sudi membantu mereliasasikan hasrat adik Aifa.

Sumber: Natipah Abu

SKIP THIS AD ×