Penyanyi, Ernie Zakri tampil dengan single terbaharu berjudul Sejambak Bunga yang mengangkat kisah tentang kebangkitan, penerimaan dan keberanian untuk terus melangkah selepas melalui pelbagai pengalaman hidup.

Artikel Berkaitan: Ernie Zakri Pertaruh Emosi Dalam ‘Tak Berlagu’, OST Filem Khadam

Lagu kekuatan

Menurut Ernie, lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu cukup dekat dengan fasa kehidupannya, selain membawa mesej bahawa setiap pengalaman, termasuk perkara yang menyakitkan mampu membentuk diri menjadi insan lebih baik.

Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik.

Bagi Ernie, kekuatan sebenar bukan terletak pada membalas setiap luka, sebaliknya kemampuan untuk memilih kebaikan dan bergerak ke hadapan tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah prinsip yang dipegang.

Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.

Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang.

Pada masa sama, Ernie berharap pendengar dapat memberikan tafsiran tersendiri terhadap Sejambak Bunga berdasarkan kisah dan pengalaman masing-masing.

Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.

Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya.

Sejambak Bunga turut diperkenalkan buat pertama kali menerusi pertunjukan fesyen Lerai oleh pereka Zaimi Zulkafli sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Esplanade, KLCC Park, pada 8 Ogos lalu.

Sejambak Bunga kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.