
Pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin mengakui perjalanan hidup banyak mengajarnya erti sebenar persahabatan, terutama ketika melalui fasa jatuh bangun sebelum kembali mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan.
Artikel Berkaitan: Dazrin Kamarudin Lebih Dikenali Sebagai Penjual Karpet Berbanding Pelakon
Pernah dipalau

Dazrin, 37, berkata, terdapat segelintir individu yang sebelum ini tidak mempedulikannya, kini muncul semula apabila perniagaan karpet yang diusahakan semakin berkembang maju.
Namun, aktor itu memilih untuk melihat perkara tersebut dari sudut positif tanpa menyimpan sebarang rasa dendam.
Memang itu hakikat hidup. Saya sendiri laluinya. Ketika nama sedang naik dan tawaran kerja melimpah, semua orang nak mengaku kawan dan saudara.
Tetapi bila saya berada di bawah, saya sendirian di rumah sampai hampir hilang kewarasan. Tiada siapa datang bertanya khabar. Malah ada penerbit yang sudah tawarkan kerja, tetapi akhirnya seolah-olah lupa.
Dazrin berkata demikian ketika ditemui pada majlis Megastore ‘The Next Milestone’ di gudang karpet miliknya, Al Aqsa Carpets di Shah Alam, baru-baru ini.
Tambah Dazrin, situasi berubah apabila kehidupannya kembali stabil dan berjaya, menyebabkan ada pihak mula mendekati serta menumpang kejayaannya.
Bila kita bangkit semula, ada pula yang datang menempel. Tapi saya tak simpan dendam. Saya terima semua itu sebagai ketentuan. Kalau saya mampu bantu orang, insya-Allah saya akan bantu.
Sekarang sudah ada bisnes sendiri dan digelar saudagar karpet, ramai yang datang menempel.
Mengimbau kembali zaman kejatuhannya, Dazrin mendedahkan dia pernah berada dalam keadaan kewangan yang sangat terdesak sehingga terpaksa mengorek tabung simpanan semata-mata untuk mengisi minyak kenderaan.
Dulu, tawaran kerja banyak dan pendapatan pun lumayan. Belanja RM10,000 boleh dapat pulangan RM15,000. Tapi selepas itu, saya masuk fasa kejatuhan. Pernah duit dalam bank betul-betul kering sampai terpaksa korek tabung.
Rezeki aturan Allah

Bagaimanapun, Dazrin percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan merupakan ketentuan Tuhan yang perlu diterima dengan reda.
Saya juga pernah salahkan semua atas ujian yang saya terima. Saya tidak boleh terima takdir ketika itu. Namun, sebagai orang Islam, semua ini kerja Allah. Kita tak boleh persoalkan.
Bila jatuh, macam-macam saya cuba tapi tak menjadi. Sampailah satu hari, rakan saya ajak buka bisnes karpet dengan niat membantu rumah Allah.
Sejak itu, saya mula berniaga sambil memberi peluang kepada orang ramai merasai kualiti karpet yang baik.
Majlis Megastore ‘The Next Milestone’ menandakan pencapaian baharu dalam perjalanan syarikat Al Aqsa Carpets dan hala tuju startergik masa hadapan.
Showroom baharu juga diperkenalkan dengan konsep yang lebih eksklusif, moden, terbuka dan interaktif untuk pengunjung selain menampilkan ruang lebih besar dan menawarkan banyak pilihan produk pada harga termurah.
Sepanjang tahun 2025, Al Aqsa Carpets mencatat pelbagai pencapaian membanggakan menerusi kejayaan melaksanakan beberapa projek berskala besar dalam tempoh yang singkat dan efisien.
Antaranya termasuk projek pemasangan karpet di Kastam KLIA melibatkan dua bangunan yang berjaya disiapkan dalam masa 14 hari tanpa sebarang gangguan operasi.
Selain itu, projek bersama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu, jauh lebih pantas berbanding tempoh asal selama tiga bulan.
Di peringkat rumah ibadat, Al Aqsa Carpets berjaya menyiapkan pemasangan karpet seluas 35,000 kaki persegi di Masjid Jamek Kampung Bharu dalam masa tujuh hari tanpa mengganggu pelaksanaan solat Jumaat.
Manakala bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pemasangan karpet di dewan utama melibatkan keluasan 70,000 kaki persegi berjaya disiapkan dalam tempoh 12 hari.





![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)


