Selangor FC menepis sekeras-kerasnya dakwaan yang dikeluarkan sebuah laman Facebook, Harimau Selatan X yang mendakwa pasukan bola sepak terkenal negara itu sanggup berbelanja besar dengan membayar seorang pemain import dengan gaji lebih RM130,000 sebulan.
Artikel Berkaitan: Faisal Halim Nafi Terima Gaji RM80k Sebulan
Dakwaan adalah fitnah dan tidak benar
Tidak berdiam diri, laman Facebook rasmi Selangor FC memuat naik satu hantaran menjelaskan perkara sebenar demi menjaga nama baik pasukan berkenaan.
Menerusi hantaran dimuat naik kelab bola sepak tersebut, mereka menjelaskan bahawa dakwaan yang dikeluarkan mengenai nilai gaji bernilai lebih RM130,000 dibayar kepada seorang pemain import pasukan mereka adalah palsu dan fitnah semata-mata.
Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan ‘posting’ tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah. Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.
Pihak Selangor FC juga mendedahkan bahawa mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan laman Facebook berkenaan serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang dikeluarkan ke atas mereka.
Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej Kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan Kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama.
Pihak Kelab akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pemfailan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Terdahulu, sebuah laman Facebook bernama Harimau Selatan X tampil memuat naik satu hantaran mendakwa pasukan Selangor FC menawarkan gaji tinggi kepada pemain tetapi tidak mampu menyediakan fasiliti yang selesa seperti stadium yang kini menggunakan stadium kelab bolasepak lain.
Hantaran itu dibuat susulan daripada satu temu bual eksklusif seorang wartawan sukan bersama pemilik kepada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Menerusi temu bual itu, TMJ menempelak beberapa dakwaan dilemparkan ke atas kelabnya dengan mendakwa kejayaan Harimau Selatan mendominasi Liga Malaysia (Liga M) disebabkan kuasa wang atau gaji lumayan diterima pemainnya.
Sumber: Facebook