Selepas melayari bahtera rumah tangga selama 12 tahun, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Sova Ali, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat semalam.
Prosiding berlangsung secara tertutup
Menerusi laporan Berita Harian, Hakim Syarie iaitu Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian itu pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.
Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak terbabit berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu.
Menurut Peguam Syarie, Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan, seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, perlu melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.
Sementara itu, peguam syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova pula berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lalu.
Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam.
Tambah Syafiq, prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu, namun ditangguhkan hingga semalam kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu tidak dapat hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Pasangan tersebut berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sumber: Berita Harian