berita

Selepas 7 Tahun Tunggu, Fendy Caliph Buskers Dapat Rumah Mampu Milik – ‘Penantian Yang Sangat Lama Ini Sekarang Dirasakan Berbaloi’

August 7th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Impian pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, untuk memiliki rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akhirnya menjadi kenyataan, semalam.

Selepas tujuh tahun menunggu

Menurut Fendy, dia membuat permohonan rumah DBKL itu pada tahun 2014 dan ketika itu masih berstatus suami orang.

Bagaimanapun, rezeki berpihak pada diri dan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 6, pada tahun ini ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat juga surat tawaran rumah yang diharapkan selama ini. Terima kasih ya Allah atas rezeki dikurniakan walaupun sekarang saya dah jadi duda anak satu.

Penantian yang sangat lama ini, sekarang dirasakan berbaloi. Terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana sudi membantu dan prihatin terhadap masalah saya, selain Harian Metro yang menyiarkan kisah saya, baru-baru ini.

Apapun, ketika mula-mula kisah saya tular pada Julai lalu, Tan Sri ada menghubungi saya bertanya khabar dan ambil peduli dengan kesusahan dialami. Saya tak sangka juga, beliau sudi menghulurkan bantuannya dan dengan surat tawaran rumah diterima, alhamdulillah penantian saya sudah berakhir.

Pindah masuk dalam seminggu lagi

Tambah Fendy, dia dijangka akan berpindah masuk ke rumah baru dalam tempoh seminggu lagi sekiranya segala urusan berjalan lancar.

Insya Allah, jika semua urusan berjalan lancar mungkin saya sudah boleh masuk ke rumah itu dalam tempoh seminggu lagi. Sekarang, perasaan saya memang tak sabar nak berpindah ke rumah baharu bersama anak.

Apabila sudah tinggal di rumah baharu itu, dapatlah saya menyusun semula aktiviti seni untuk menjana pendapatan seperti membuat persembahan nyanyian secara maya atau apa saja yang sesuai.

Dalam pada itu, Fendy menyatakan kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak seperti yang diinginkan kerana berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT).

Pada masa ini, Fendy menyewa di sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur.

 

Sumber: Harian Metro, Instagram fendydrummer_caliphbuskers

SKIP THIS AD ×