Suami kepada aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mendakwa ini bukan kali pertama namanya digunakan bagi tujuan sindiket penipuan pelaburan yang tidak wujud. Malah semakin menjadi-jadi sejak dia mendirikan rumah tangga.
Guna nama & gambar untuk sindiket penipuan
Foto kredit : Harian Metro
Dalam pada itu, Mahadi juga turut mengesan individu terbabit yang menggunakan akaun palsu di media sosial serta di aplikasi Telegram untuk memperdaya mangsa. Akibat daripada itu, dia dan syarikatnya menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa mengalami kerugian gara-gara ditipu sindiket penipuan tersebut.
Ini bukan kali pertama nama saya digunakan, malah semakin menjadi-jadi sejak saya mendirikan rumah tangga bersama Heliza.
Berdasarkan maklumat mangsa, mereka ditawarkan skim pelaburan serendah RM300 dan menjanjikan pulangan antara RM10,000 sehingga RM18,000 hanya dalam tempoh tiga hari. Scammer ini menggunakan nama, gambar dan video ceramah saya kononnya saya adalah bos mereka.
Dalam pada itu, Mahadi mengatakan bahawa setakat ini pihaknya sudah mengesan hampir 100 akaun media sosial dan laman web yang menggunakan identitinya untuk menipu mangsa. Antara akaun media sosial berkenaan adalah Al Kahtifah Trust, Aurora Mining Team, Al-Dagang Malaysia, Bijak Labur, Madinah Mining, Pelaburan Al-Marzuqi, MoneyStone dan Xafee Trade.
Kebanyakan mangsa yang terpedaya memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan tetapi selepas tiga hari, mangsa diminta memasukkan sejumlah wang lagi sebagai deposit bagi mendapatkan wang pelaburan mereka. Mangsa hanya menyedari ditipu apabila individu terbabit gagal dihubungi selepas memasukkan wang itu.
Dah buat 5 laporan polis
Walau bagaimanapun, pihaknya telah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dan yang terbaharu pada 25 Februari lalu di Balai Polis Kelana Jaya. Difahamkan, pihak polis telah melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya lagi, sindiket penipuan terbabit telah mencemarkan reputasi serta menjejaskan urusan syarikatnya. Susulan daripada itu, Mahadi meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket berkenaan untuk menghubungi syarikatnya bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan seterusnya.
Saya minta tolong mangsa buat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengikut undang-undang. Tidak perlu gusar tindakan mereka akan menjejaskan saya kerana saya sendiri buat laporan polis.
Sumber : Harian Metro