Penerbit Jaja Ishak mengakui tidak teragak-agak untuk menawarkan peluang pengarahan drama bersiri Sepenuh Hati Rindu kepada sutradara Kyoll Hamzah meskipun pengarah berkenaan sebelum ini berdepan masalah kesihatan.

Keadaan itu menyebabkan Kyoll terpaksa berehat daripada industri hiburan selama hampir dua tahun bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaja Ishak Terkejut Lagu ‘Hati Yang Dikecewa’ Cecah Lebih 500K Tontonan, Tegas Tak Pernah Tumpang Populariti Ina Naim

ARTIKEL BERKAITAN: Jaja Ishak Terkejut Dakwaan Rumah Produksi Di ‘Black List’ Stesen TV – ‘Saya Bukan Orang Kaya Nak Dengki’

Sudah lama mengenali Kyoll Hamzah

Menurut Jaja, dia sebenarnya sudah mengenali Kyoll lebih sedekad, namun drama yang bakal bersiaran di slot Samarinda TV3 itu menjadi projek pertama yang menemukan mereka dalam sebuah kerjasama.

Saya dah kenal Kyoll lebih 10 tahun, tetapi belum ada rezeki untuk bekerjasama. Alhamdulillah, untuk projek kali ini, apabila saya mengangkat nama dia sebagai pengarah, pihak stesen juga bersetuju.

Ini adalah projek pertamanya bersama TV3 selepas menjalani rawatan mata dan selepas dua tahun tidak berkarya.

Menurut Jaja, sepanjang lebih 30 hari penggambaran berlangsung, Kyoll menunjukkan komitmen yang baik dan mampu melaksanakan tugasnya sebagai pengarah.

Alhamdulillah, saya nampak dia bekerja dengan baik dan memberikan komitmen yang sepatutnya. Dalam masa yang sama, kami sentiasa berbincang supaya proses penggambaran berjalan lancar.”

Tambah Jaja, lokasi penggambaran di Pahang yang jauh daripada kesibukan kota turut membantu Kyoll mendapatkan suasana yang lebih tenang.

Dia sendiri beritahu bahawa dia lebih tenang apabila dapat menjalani penggambaran di Pahang, dekat dengan pantai dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar.

Saya rasa suasana seperti itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan yang dihadapinya.

Beri peluang & rezeki untuk Kyoll buat comeback

Ditanya mengenai keputusan mengambil Kyoll ketika ramai mungkin bimbang dengan keadaan kesihatannya, Jaja berkata setiap individu berhak diberikan peluang kedua.

Pada saya, semua orang berhak diberi peluang. Kadang-kadang orang yang sihat pun boleh jatuh sakit secara tiba-tiba.

Apabila kami berbincang dan dia memberikan keyakinan bahawa dia mampu memberikan komitmen sepenuhnya untuk projek ini, saya tidak teragak-agak untuk memberikan peluang kepada Kyoll.

Tambahan pula, dia mempunyai rekod yang sangat cemerlang sebagai seorang pengarah.

Sebelum ini, Kyoll dilaporkan mengalami masalah penglihatan pada kedua-dua belah mata akibat depresi yang dihidapinya pada Oktober 2024.

Selepas menjalani empat pembedahan, tahap penglihatannya dilaporkan semakin pulih pada awal tahun ini.

Sepenuh Hati Rindu bakal bersiaran di TV3

Sepenuh Hati Rindu diterbitkan oleh Jaja Ishak Channel sedang giat menjalani penggambaran di sekitar Pahang dan diarahkan oleh Kyoll Hamzah, bakal bersiaran di TV3.

Sepenuh Hati Rindu mengisahkan perjalanan hidup Summayah (Farah Nabilah), seorang wanita yang kehilangan suami tercinta, Imran Zayn (Shahz Jaszle), dalam tragedi di laut ketika sedang hamil. Kehilangan itu meninggalkan trauma yang mendalam sehingga dia berusaha membina semula kehidupannya bersama anak lelakinya, Qhalifah Dhany (Sayf Mikael).

Dalam proses pemulihan, Summayah bertemu Luth Mikael (Razzuan Rosli), seorang lelaki yang disangkanya mampu mengubati luka lama. Namun, perkahwinan kedua itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Luth mula menunjukkan sifat mengongkong dan mendera, sekali gus mengancam keselamatan Summayah dan anaknya.

Segala-galanya berubah apabila Imran Zayn, yang disangka telah meninggal dunia, muncul semula selepas bertahun-tahun menghilangkan diri akibat hilang ingatan. Kepulangannya membuka semula kisah cinta yang belum berakhir, sekali gus mencetuskan konflik, pengorbanan dan perjuangan demi melindungi keluarga.

Turut dibintangi Syafie Naswip, Raja Azmi, Lan Siro, Niswah Syuhada dan Ira Ma, Sepenuh Hati Rindu menjanjikan sebuah drama penuh emosi yang mengangkat tema kasih sayang, kehilangan, harapan, penderaan rumah tangga dan kekuatan seorang wanita dalam mempertahankan keluarga yang dicintainya.