Perasaan kehilangan insan tersayang terutamanya ibu bapa amatlah perit dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kehilangan mereka membuatkan kehidupan kita seakan-akan ‘tidak lengkap’ selain hilangnya tempat bergantung.
Terbaru, seorang pengguna Twitter yang dikenali dengan nama Lydiaa ada meluahkan kesusahan yang dialaminya selepas pengumuman kerajaan yang meminta penuntut universiti untuk memasuki kelas bermula Oktober sedangkan sebelum ini pelajar dibenarkan menjalani pembelajaran Open Distance Learning (ODL) sehingga Disember.
Tak ada tempat mengadu
Kedua ibu bapa sudah meninggal
Menerusi perkongsian gadis ini, dia yang juga merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda memberitahu kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia sejak tahun 2012 lagi. Sejak daripada itu dia tiada tempat bergantung dan hanya tinggal bersama neneknya. Dia turut membantu neneknya berniaga untuk mencari wang tambahan.
Selepas nenek meninggal dunia, dia kemudian tinggal pula di rumah mak ciknya dan pada tahun 2017 gadis ini berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Bermula dari situlah dia mencari rumah sewa serta membuat kerja sambilan ketika masih bergelar seorang pelajar.
‘Susah bila hidup menumpang kasih’
Menceritakan kembali kisah lama, gadis ini mengakui dalam tempoh 2014 hingga 2016 dia banyak kali cuba membunuh diri disebabkan penderaan mental lebih-lebih lagi apabila menginginkan kasih sayang seorang ibu dan ayah.
Dalam pada itu, gadis ini memberitahu walaupun kemudahan asrama diberikan kepadanya tetapi dia masih menyewa rumah kerana mudah baginya untuk pergi kerja. Tambah Lydiaa, dia bersyukur kerana tuan rumah sangat memahami situasi yang dilaluinya.
‘Stress sebab saya dah tamatkan’
Menurut Lydiaa, sebelum ini pelajar dimaklumkan bahawa mereka akan teruskan dengan pembelajaran secara ODL sehingga bulan Disember. Berikutan daripada berita itu, dia telah membuat keputusan untuk keluar daripada rumah sewa dan pulang ke kampung neneknya.
Selain itu, segala barangan di asrama juga telah disedekahkan kepada orang lain kerana agak sukar untuk membawa pulang ke kampung. Oleh itu, apabila kerajaan mengumumkan bahawa penuntut universiti diminta memasuki kelas bermula bulan Oktober, ianya secara tidak langsung memberikan tekanan kepada dirinya. Hal ini kerana segala urusan rumah sewanya telah ditamatkan.
Sumber: Lydiaa