Pelakon, Luqman Hafidz, 31, memberitahu dia dan isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi telah sah bercerai pada bulan Jun yang lalu. Ujar Luqman, perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun sahaja.
Sampai masa untuk berkongsi
Memandangkan ramai pihak bertanya mengenai status dirinya, Luqman berkata dia nekad untuk berkongsi perkara itu hari ini. Tambah Luqman, dia berharap orang ramai dapat menghormati dan memberikan ruang kepada dirinya selain ingin menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak.
Sampai masanya untuk saya kongsikan dan mengesahkan yang saya sudah pun berpisah dengan isteri pada Jun lalu. Kami berpisah cara baik di mahkamah. Sekarang fokus kami adalah memberikan kehidupan yang baik pada anak. Saya sedar status saya sebagai anak seni tak lari dari perhatian masyarakat. Justeru, saya tampil memberikan kenyataan ringkas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tanda tanya berterusan dari mana-mana pihak.
Semoga tiada lagi spekulasi yang timbul selepas ini. Saya berharap agar pihak media khususnya dapat memberikan ruang kepada saya dan menghormati keputusan ini bagi menjaga hati keluarga saya juga bekas mentua. Saya mohon maaf atas segala kekalutan sebelum ini. Fokus saya sekarang adalah kerja keras bagi mencari rezeki dan sebagai seorang bapa, tanggungjawab ini adalah keutamaan saya. Saya pohon semua titipkan doa yang baik-baik dan saya doakan yang terbaik juga buat kalian.
Luqman mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac 2020. Pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Eve Laura pada 6 Februari 2021 yang kini berusia setahun.