berita

Sentiasa Melawan & 6 Lagi Tanda-Tanda Anda Sebenarnya Sedang Dibuli Oleh Anak!

March 11th, 2020 | by Amat
Kesihatan & Hidup Aktif

Setiap ibu bapa sememangnya mempunyai cara yang berbeza dalam mendidik anak mereka. Ada segelintir ibu bapa yang suka manjakan anak dan begitu sebaliknya. Sebagai ibu bapa harus bijak mendidik anak supaya tidak keterlaluan manja, takut anda pula malu apabila anak mengamuk di shopping mall.

Pengguna Facebook Akhtar Syamir kongsi kesan buruk sekiranya ibu bapa terlalu ikut kehendak anak sehingga menjadi mangsa buli anak sendiri.

Adakah anda dibuli oleh anak?

Zaman sudah berubah dengan sangat pantas. Dahulunya, anak susah untuk angkat muka dengan ibu-bapa. Silap sikit, berbirat tangan, kaki dan punggung. Jadi, apa sahaja yang ibu-bapa kata, itulah yang akan dituruti.

Kita cepatkan masa sedikit. Anak-anak tadi membesar dan menjadi dewasa serta mendirikan rumah tangga. Atas pengalaman lalu, ramai yang berjanji pada diri sendiri yang mereka tidak akan terlalu tegas atau garang dengan anak-anak. Mereka mahu anak lebih hormat berbanding takut kepada mereka sebagai ibu-bapa.

Tak salah untuk berfikiran begitu, tetapi jika tidak dibendung, kesannya akan menjadi buruk. Ibu bapa pula akan menjadi mangsa buli anak.

Takut anak mengamuk

Anak anda sentiasa melawan. Jika anda kata A, dia akan tetap dengan pendiriannya iaitu B. Bila anda kata “jangan”, dia tidak akan mempedulikannya.

Anda sebagai ibu-bapa takut apabila anak mengamuk. Di rumah itu boleh tahan lagi. Tetapi apabila di luar, di taman, di pusat membeli-belah dan di tempat ramai orang. Apabila anak buat perangai, anda mula gelabah dan menuruti sahaja apa yang mereka mahukan.

Ini juga bermaksud yang anak sering memeras ugut anda. Apabila dia tidak dapat apa yang mereka mahukan, mereka akan membuatkan anda malu atau menyusahkan anda. Mereka tahu mengenai perasaan malu dan takut anda itu.

Sengaja tidak mahu dengar

Anak sudah hafal rutin atau cara untuk mereka dapatkan sesuatu. Contohnya jika mereka mahukan smartphone, mereka akan mengamuk dan mereka tahu yang anda akhirnya akan mengalah dan mereka dapat apa yang dimahukan. Mereka akan senyap selepas itu dan ibu-bapa sebenarnya sedang dibuli dan dipermainkan dengan “keamanan yang dirancang”. Anak kecil zaman sekarang bijak. Mereka tahu.

Anak yang sengaja tidak mahu mendengar kata dan melebihkan sama ada ibu atau bapa. Mereka hanya mendengar kata seorang sahaja. Ini sememangnya salah satu bentuk buli kerana mereka pandai menjadi anak yang baik apabila ibu kesayangan atau bapa kesayangannya ada dan akan mengubah perangai apabila anda atau pasangan anda tiada.

Anak yang sengaja menyakiti anda secara fizikal. Mencubit, menggigit dan menyepak ibu atau bapanya sendiri. Macam tak masuk akal kan? Tetapi ada ibu-bapa yang membenarkan kelakuan ini dan tidak mencegahnya. Hasilnya anak akan membuli dan menyakiti ibu-bapa disebabkan tiada lagi rasa hormat.

Sengaja tidak mahu tidur sendiri

Anak dengan sengaja tidak mahu tidur sendiri walaupun sudah lebih dari 2 atau 3 tahun. Ini terhasil dari kurangnya inisiatif dari ibu-bapa sendiri yang cepat mengalah dan menurut sahaja kehendak anak. Mereka akan melawan percubaan pengasingan dan jika ibu-bapa tidak kuat mentalnya, pasti mereka yang akan berjaya.

Itu antara tanda-tanda anda sedang dibuli oleh anak sendiri. Jika ada tanda-tanda itu, mulalah berubah. Perubahan itu perlu bermula dengan ibu-bapa. Jangan ditunggu-tunggu atau dilengah-lengahkan kerana apabila anak sudah besar, kadang-kala semuanya akan sudah terlambat. Mereka tidak lagi akan mendengar kata anda.

Jangan terlalu manjakan

Jangan terlalu manjakan mereka. Mengalah itu tidak salah tetapi sentiasa mengalah itu yang salah. Jangan jadikannya rutin yang mereka akan sentiasa dapat apa yang mereka mahukan selepas mereka mengamuk.

Bersatu hati dan bekerjasama dengan pasangan. Jangan bergaduh depan anak, jangan menyangkal apa yang pasangan sedang katakan, jangan menunjukkan kesalahan pasangan di hadapan anak dan jangan melebihkan anak di hadapan pasangan. Ini akan membuatkan anak tidak hormat kepada pasangan dan akan membuli serta melayan pasangan anda dengan tidak baik.

Beri kuasa pada pasangan

Perlu tegas. Benar, hormat itu lebih baik, tetapi anak perlu ada sifat takut kepada ibu-bapanya. Bukan dengan kekerasan tetapi dengan mainan psikologi. Mereka perlu tahu apa yang mereka akan kehilangan jika buat itu dan ini supaya mereka takut bukan sahaja kepada anda tetapi kepada apa yang mereka mahu atau sayangkan.

Berikan kuasa kepada pasangan. Contohnya “mama kata tak boleh, kena ikut cakap mama”. Ini salah satu pemberian kuasa kepada pasangan. Jangan sekali-kali menghilangkan kuasa itu dengan memberi apa yang mereka mahukan apabila pasangan anda sudah buat keputusan untuk tidak memberi.

Terapkan nilai agama

Gunakan juga pengaruh luar seperti kawan-kawan, guru dan saudara mara. Berikan contoh apakah mereka ini akan rasa apabila anak buat sesuatu yang tidak baik, contohnya memarahi ibunya sendiri. Beritahu yang kawan-kawannya tidak memarahi ibu mereka atau Guru akan marah jika tahu mengenai perkara itu.

Terapkan nilai-nilai Agama Islam, pahala dan dosa, syurga dan neraka, derhaka dan taat serta lain-lain.

Jangan malu anak mengamuk

Jangan malu apabila anak mengamuk di khalayak ramai. Cari ruang untuk tenteramkan mereka dan bukannya dengan memukul mereka yang bakal memberi kesan yang lebih buruk lagi. Mereka perlu tahu, tangisan mereka itu adalah sia-sia kerana anda tidak akan mengalah.

Anak yang paling baik dengan ibu-bapanya ialah anak yang menghormati ibu-bapanya. Ini bermakna, tiada pertengkaran di hadapan anak, tiada jeritan-jeritan dan maki-makian. Apa sahaja yang kita sebagai ibu-bapa buat di hadapan anak akan mereka tiru, jika tidak tiru pun, ia akan tersimpan sebagai dendam yang akhirnya akan diluahkan apabila mereka sudah besar.

Akhir sekali, jangan memandang rendah perkembangan minda anak. Mereka di zaman sekarang menyerap maklumat berkali-kali ganda lebih banyak berbanding kita dahulu. Perlu tetapkan dalam minda yang mereka tahu serta faham apa yang mereka lakukan. Jadi, ibu-bapa perlu tangani perkara ini dengan lebih bijak berbanding hanya menggunakan kekerasan sahaja. Anak yang sentiasa dimarahi akan memberontak dan jika mereka tidak tunjuk, mungkin mereka simpan dan memberi tekanan di kemudian hari.

Semoga ibu-bapa tidak lagi dibuli anak dan semoga keluarga kita semua sentiasa bahagia dan ceria.

Sumber: Akhtar Syamir

SKIP THIS AD ×