Kita bukan sahaja membenci dan mengutuk perbuatan keji serta tak bermoral, bahkan kita mesti jijik lagi-lagi yang melibatkan seksual ke atas kanak-kanak atau paedophile . Paedophile atau pedofil ni istilah sakit mental untuk mereka yang sukakan seks dengan kanak-kanak. Manusia jenis ni memang kejam, sakit mental, tak berguna, haihhh macam-macam lagi!
Pelbagai luahan rasa dan kerisauan telah dimuatkan dalam laman sosial mengenai pedofil ini. Tujuannya cuma satu, untuk menyedarkan masyarakat perihal ‘penyakit mental’ ini. Jika dibiarkan, ianya akan menjadi parah dan bernanah dalam masyarakat kita kelak. Ikuti perkongsian Muhammad Izwanuddin Abdul Rahim.
Perasaan Yang Tidak Selesa…
Saya menulis ini dengan perasaan yang tidak selesa. Sungguh, saya tidak selesa. Pedophilia, dalam bahasa mudahnya adalah satu kelainan jiwa pada seseorang yang menyebabkan dirinya memiliki ketertarikan dari sudut seks kepada kanak-kanak. Beberapa hari lepas, seorang pedofil, Richard Huckles, dilaporkan didakwa atas 91 tuduhan perlecehan seksual terhadap kanak-kanak. Beliau mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan tersebut. Dipercayai mangsa-mangsa beliau melebihi 200 orang. 23 orang daripadanya adalah kanak-kanak Malaysia. Berita tentang beliau tersebar di media antarabangsa dan boleh diakses di sini. http://www.bbc.com/news/uk-36429385 .
Tadi, saya terbaca status Facebook Syed Azmi yang mendapat maklumat tentang sebuah kumpulan Telegram Pedofil di Malaysia. Ada beratus-ratus orang di dalamnya. Mereka berkongsi gambar kanak-kanak di situ dan berfantasi sesama mereka. Tidak lama dahulu, selebriti Harith Iskander meluahkan ketidakpuasan hatinya apabila gambar anaknya dimasukkan ke dalam laman web lucah. Gambar anak beberapa orang selebriti yang lain turut menjadi mangsa. Itu belum dikira lagi dengan kisah seorang mahasiswa Malaysia yang pintar di Imperial College yang didapati bersalah atas kegiatan pedofil.
Masyarakat kita sedang ‘sakit’
Sakit. Masyarakat kita sedang ‘ sakit ‘. Sahabat sekalian, berhati-hati apabila berkongsi gambar anak-anak kita di laman sosial. Tidak salah kita berkongsi kegembiraan. Ya, kita memang sekadar mahu memaparkan keletah anak-anak kita yang sedang membesar. Itu perkara normal bagi ibu bapa. Cuma pada masa yang sama, ambil juga langkah berjaga-jaga. Kita tidak tahu siapa yang ‘ memerhati ‘ di luar sana.
Berkongsilah jika perlu
Jika tidak ada keperluan mendesak, tidak perlu dikongsikan gambar anak-anak kita. Jika mahu berkongsi juga, cuba pastikan mereka berpakaian sempurna. Memang mereka tidak ditaklifkan untuk menutup aurat, namun andai kita tahu apa yang bermain di fikiran para pedofil, tentu kita tidak akan membiarkan seinci pun tubuh mereka didedahkan begitu saja. Setkan gambar itu untuk orang-orang yang kita benar-benar percaya saja. Berkongsilah. Pada masa yang sama, berhati-hatilah. Saya sekadar mampu menitipkan pesan saja.
Kes Richard Huckle
Richard Huckle kini sedang menghadapi hukuman penjara seumur hidup untuk pelbagai jenayah seks terhadap kanak-kanak Malaysia. Huckle mengaku membuat kekejaman seks terhadap mangsa berusia antara 6 bulan dan 12 tahun, dari 2006 hingga 2014. Dia dipercayai mendera sehingga 200 kanak-kanak.
Kes hukuman beliau bermula di Old Bailey pada hari Rabu, dan dijangka berakhir pada Jumaat. 91 caj yang berkaitan dengan 23 kanak-kanak dari masyarakat terutamanya golongan miskin di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Beliau mengakui 71 daripada caj, dan pendakwa raya menyatakan bahawa tuduhan lain diletakkan dalam ‘fail hukuman’. Huckle yang jugak seorang jurugambar bebas, ditahan di Lapangan Terbang Gatwick oleh pegawai-pegawai Agensi Jenayah Kebangsaan pada bulan Disember 2014.
Semoga lebih banyak lagi peringatan dan amaran diberikan kepada masyarakat perihal pedofil ni. Kalau tak, negara kita akan jadi tak aman dan porak poranda. Jangan bila dah bernanah parah, baru kita nak bertindak dan menyesal. Tak berguna lagi.
Sumber: Mohd Izwanuddin Abdul Rahim