Korang pernah rasa mengantuk tak pada waktu petang terutama selepas waktu makan tengah hari? Kalau korang rasa mengantuk dan tertanya-tanya mengapa waktu petang sering terjadi begitu, jom baca perkongsian seorang doktor ini.
Tertidur di simpang lampu isyarat
Mengapa selalu mengantuk di siang hari. Saya menegur seorang rakan yang memesan secawan lagi Nescaffe setelah baru menghabiskan secawan. Saya cuba menduganya. Dalam satu hari berapa cawan minum nes? Saya tidak merokok doktor. Jadi saya minum nescaffe ini untuk hilangkan rasa mengantuk. Teruk sangat ke rasa mengantuk. Mana tak teruk, doktor. Kadangkala rasa berat je kelopak mata ini. Tak boleh buka mata langsung. Pernah sekali hampir berlaku kemalangan jalan raya kerana terlalu mengantuk. Satu ketika pula, saya tertidur bila berhenti di simpang lampu isyarat. Saya terjaga bila terdengar bunyi hon kuat dari kereta di belakang.
Saya mengangguk-angguk kepala. Saya percaya bahawa keadaan rakan saya ini memang teruk. Keadaannya dinamakan sebagai “hypersomnia. Mengikut penulisan bertajuk “Hypersomnia – causes, adults, drug, person, people, used, effect, Definition, Description, Causes and symptoms, Demographics, Diagnosis, Treatments, Prognosis”, oleh laman web Minddisorders.com (ditulis pada 15 februari 1999), keluhan biasa yang selalu diadukan ialah rasa sangat mengantuk di siang hari walaupun telah cukup tidur di malam hari melebihi 8 jam. Mereka juga rasa sukar untuk bangun pagi.
Akibat rasa mengantuk, mereka akan rasa mudah marah, rasa tidak bertenaga, lambat berfikir, ada kalanya rasa tiada selera makan (dia lebih suka tidur daripada mengisi perutnya), daya ingatan yang terjejas, tidak dapat memberi fokus pada pekerjaan dan ada kalanya ‘melihat perkara yang ganjil’ (hallucinations). Biasanya masalah ini dihadapi oleh remaja atau lelaki yang berusia 20an. Jika tidak dirawat, mereka mungkin akan menghadapi masalah ini berbulan-bulan lamanya, malah bertahun-tahun. Ada juga sembuh dari masalah ini dengan sendirinya namun ia berulang. Oleh itu pemeriksaan oleh doktor perlulah dilakukan, kerana terdapat penyakit saraf yang dinamakan Kleine-Levin Syndrome (PLS) yang memerlukan rawatan khas kerana penghidapnya akan menghadapi masalah mengantuk secara melampau.
Tidur sebentar tidak membantu
Pesakit PLS hanya bangun untuk makan dan ke bilik air saja. Ketika dia dalam keadaan jaga, sifat dan perangainya menjadi liar dan menyusahkan orang di sekeliling. Hypersomnia juga tanda-tanda bagi masalah yang lain seperti narcolepsy atau sleep apnea. Narcolepsy ialah masalah mengantuk yang dihadapi oleh seseorang akibat kerosakan saraf di otaknya akibat kekurangan protein hypocretin. Sleep apnea pula adalah keadaan di mana seseorang itu berdengkur ketika tidur di waktu malam, sehingga menyebabkan pernafasannya terhenti untuk beberapa saat. (3,4).
Hypersomnia juga harus dibezakan dengan keadaan di mana seseorang merasa mengantuk akibat tidurnya terganggu (sebagai contoh menjaga anaknya yang sakit) atau disebabkan tidak tidur malam (kerana bertugas sebaga polis yang berkawal di waktu malam) atau rasa terlalu penat akibat melakukan banyak kerja yang melibat fizikal atau mental. Rasa mengantuk sebegini dikira normal. Mata saya tidak dapat dibuka selepas makan tengah hari. Walaupun saya sudah tidur sebentar, namun rasa macam tidak puas. Doktor, suami saya itu sudah tahap kronik. Kadangkala ketika kami sedang berbual-bual dia boleh tertidur.
Rungutan di atas adalah tanda-tanda seseorang itu mengalami hypersomnia. Mereka merasa mengantuk ketika bertugas, ketika makan, ketika berbual-bual dengan rakan-rakan dan dalam mesyuarat. Tidur sebentar (nap) tidak akan dapat membantu mereka rasa segar dari rasa mengantuk. Jadi bagaimana hendak memastikan bahawa hypersomnia yang dialami bukanlah penyakit yang bahaya? Tidak lain, dengan menjalani pemeriksaan klinikal dan makmal oleh doktor. Pemeriksaan doktor akan membezakan sama ada hypersomnia ini disebabkan oleh keadaan yang biasa atau keadaan yang agak merbahaya. Ini kerana hypersomnia juga boleh disebabkan oleh kerosakan saraf dalam otak atau masalah kemurungan yang agak kronik, dan kepekatan toksik urea dalam darah terlalu tinggi (uremia).
Obesiti mengalami masalah yang sama
Menurut National Sleep Foundation United State of America, hypersomnia juga boleh disebabkan oleh fibromyalgia. Yang menariknya, kesakitan otot akibat fibromyalgia akan berkurangan dengan ‘rawatan’ tidur berlebihan.(6) Doktor juga akan bertanya jika pesakit sedang mengambil apa-apa rawatan untuk kemurungan (depression), yang selalunya mempunyai kesan sampingan iaitu rasa mengantuk keterlaluan. Pesakit yang pernah mengalami kecederaan kepala yang melibatkan otak juga boleh mendapat masalah yang sama. Selain itu penyakit saraf multiple sclerosis juga akan menyebabkan saraf akan menjadi rosak. Pesakit biasanya mengalami keletihan dan rasa sangat mengantuk.
Orang yang bersaiz obese juga mudah mengalami masalah yang sama. Banyak kajian menunjukkan jika seseorang mula melakukan riadah dan dapat mengurangkan berat badannya, masalah hypersomnia ini akan dapat dirawat tanpa sebarang ubat. Dan ramai juga tidak menyedari yang mereka menghadapi masalah kelenjar tiroid. Hormon thyroid amat penting bagi metabolisma tubuh dan memberikan tenaga pada badan. Jika mereka menghadapi kekurangan hormone thyroid (hypothyroidism), masalah yang mula mereka rasakan ialah rasa cepat letih dan rasa sangat mengantuk di siang hari.
Selain itu, diabetes mellitus dan hypercholestrolemia juga menyebabkan penghidapnya menjadi sangat letih dan mudah merasa mengantuk. Adakalanya pantang letakkan kepala di atas bantal, mereka akan terus tidur. Tidak hairanlah jika mereka merasa terlalu penat ketika sampai di rumah dan terus melelapkan mata ketika di kerusi sofa. Jadi jika kita mendapati diri kita selalu mengantuk di siang hari walaupun telah mendapat cukup tidur, haruslah menjalani pemeriksaan. Rasa mengantuk itu mungkin disebabkan oleh penyakit yang lebih merbahaya. Amalkanlah ayat-ayat Ruqyah agar Allah melindungi kita dari musibah penyakit-penyakit yang kita sendiri tidak mampu hadapi.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad