berita

‘Seronok’ Lihat Bomba Masuk Kampung, Dua Beradik Suspek Bakar 11 Rumah Dicekup

September 17th, 2019 | by faris
Kini Trending

Penduduk Kampung Padang Pohon Tanjung, Tumpat, Kelantan hidup diselubungi ketakutan selepas kejadian 12 buah rumah di kampung mereka hangus dijilat api sejak Jun lalu.

Ada dakwaan di media sosial mengatakan kejadian terbabit didalangi 2 budak, namun pihak polis menafikan laporan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Ditahan semalam

Sinar Harian melaporkan, dua beradik lelaki berusia 11 dan 10 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan siri kebakaran di Kampung Padang Pohon Tanjong, Tumpat sejak Jun lalu. Kedua-dua suspek cilik ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, penahanan dilakukan susulan laporan penduduk termasuk kes kebakaran sebuah rumah di hadapan kediaman keluarga mereka.

Polis pergi ke rumah keluarga kanak-kanak tersebut semalam dan menahan mereka bagi membantu siasatan. Perintah reman terhadap mereka dikenakan selama dua hari berkuat kuasa hari ini sehingga esok.

Seronok lihat bomba

Sebelum ini viral di laman sosial mengenai tindakan kanak-kanak terbabit yang berbuat demikian kerana seronok melihat pasukan bomba dan penyelamat memadamkan api.

Bagaimanapun, Mohd Razi mengatakan tiada pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua kanak-kanak terbabit.

Media sebelum ini melaporkan 11 rumah dan satu kedai di kampung itu hangus terbakar sejak Jun lalu. Kebakaran turut melibatkan sebuah rumah kedai diikuti tiga unit rumah sewa beberapa hari sebelum Aidiladha baru-baru ini.

Kejadian ketiga membabitkan tujuh rumah di kampung sama pada 28 Ogos lalu.

Sumber: Sinar Harian, Kosmo!

SKIP THIS AD ×