Penyanyi dan komposer, Aina Abdul menyifatkan single terbaharunya berjudul Sesaat sebagai penawar kepada luka dan kekecewaan yang pernah dialami sebelum ini.

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Tak Sokong Kenyataan Atilia Harun – ‘Secara Tidak Langsung Mempersoalkan Tugas Juri’

Penyembuh luka

Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata pengalaman getir itu akhirnya membawa dia terbang ke Indonesia untuk bekerjasama dengan barisan komposer dan penulis lirik seberang iaitu Trakast, Fabio Asher dan Yafi Aria.

Selepas AJL 39 saya ada sedikit kecil hati dengan apa yang berlaku, saya mempersoalkan banyak perkara. Disebabkan itu, saya membawa diri ke Jakarta. Allah izinkan saya bekerjasama dengan komposer dari seberang.

Sesaat adalah penawar kepada kekecewaan yang saya alami sebelum ini. Sesaat hadir ketika saya mencari ketenangan dan kebahagiaan. Sesaat adalah penyembuh untuk diri saya.

Saya tidak boleh ceritakan secara terperinci apa kekecewaan yang dirasai, tapi melibatkan kerja. Saya tertanya-tanya adakah sudah melakukan terbaik untuk diri sendiri, pasukan dan peminat.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Sesaat yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama bersama Fabio Asher, pemenang Vokal Wanita Terbaik AIM24 menyifatkan pengalaman itu ibarat bertemu dengan sisi lain dirinya sendiri.

Fabio membawa saya ke dunia dia dan sangat gembira dapat bekerjasama dengannya. Dia memberikan saya rasa baharu dalam berkarya.

Fabio berikan saya lapan demo lagu dan saya jatuh cinta dengan Sesaat. Pertama kali dengar terus saya suka.

Menariknya lagi, Sesaat juga menjadi percubaan kedua Aina untuk menyanyikan lagu sepenuhnya hasil ciptaan orang lain, selepas sekian lama memperjuangkan karya nukilan sendiri.

Apabila saya jumpa Fabio, ibaratnya berjumpa dengan ‘another person of me’. Sebelum ini saya perah otak sendiri untuk hasilkan melodi, kali ini melihat orang lain yang menghasilkannya.

Saya juga ingin melihat apa reaksi orang apabila saya menyanyikan lagu ciptaan orang lain. Sebelum ini semua karya adalah hasil air tangan sendiri.

Sesaat kini boleh didengari di semua platform penstriman dan video muzik boleh disaksikan di YouTube Aina Abdul.