Hari ini 8 Mac genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Pesawat Boieng 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur.
Pelbagai usaha pencarian dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan negara-negara lain namun sehingga kini tidak menunjukkan sebarang petunjuk positif. Malah pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan dan semua dianggap terkorban.
Namun bagi waris penumpang dan krew pesawat MH370, harapan mereka masih tinggi mahu melihat yang tersayang pulang walaupun ianya cukup mustahil.
Genap setahun kehilangan MH370, kami bawakan kompilasi luahan sebahagian waris penumpang dan krew yang cukup menyentuh jiwa.
1. Hai B..I Actually Missing U Badly
Intan Maizura Othman, isteri seorang anak kapal Mohd Hazrin Hasnan meluahkan betapa anaknya cukup merindui Hazrin, malah mahu bertemu di syurga.
Sejujurnya kami sebak saat membaca kapsyen ini, di baca berulang kali walaupun tahu ianya amat menyedihkan.
2. Saya Masih Tunggu Ayah Pulang
Maira Elizabeth Nari, anak kepada ketua pramugara pesawat MH370, Andrew Nari ini menzahirnya rasa rindu terhadap ayahnya namun setelah setahun, dia mula menerima hakikat bahawa harapan untuk bertemu ayahnya sudah tiada. Maira kerap menceritakan kenangan bersama ayahnya di Instagram.
3. Mana Awak Pergi, Chandrika?
K.S. Narendran, suami kepada seorang penumpang, Chandrika Sharma menulis karangan yang begitu panjang tentang kehilangan isterinya menerusi laporan CNN. Antara petikan ayatnya ialah:
Where have you been, Chandrika?Oh, many places. All at the same time. Can you believe that? When will you be back? Your guess is as good as mine. For good. That is. What if I am gone for good?I have been thinking about a good long chat with you, Chandrika.
4. Tak Dapat Tahan Kerinduan
Sekarang saya tinggal berdua dengan suami kerana tidak boleh berada lama di rumah Sofuan di Kota Damansara, Selangor berikutan tidak dapat menahan kerinduan terhadapnya. Saya membuat keputusan pulang ke rumah dan menyibukkan diri dengan kerja rumah
5. Terima Kasih Kepada Pasukan Pencarian
Kami rasa seperti kami sedang menekan butang mandir malam ini, setahun yang lepas kami sedang menikmati makan malam bersama-sama. Waktu itu, mereka sedang menunggu teksi untuk ke lapangan terbang, saya teringat suami saya sedang bermain dengan cucu lelakinya pada waktu ini sebelum pergi ke tempat kerja.
Kepada mereka semua di selatan Lautan Hindi, terima kasih kepada semua atas usaha berterusan untuk pencarian pesawat.
6. Setiap Hari Makcik Teringat Dia
Putih Idris, ibu mentua salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Nor Fadzillah Mat Rahim mengakui selalu teringat dan merindui menantunya itu.
Mana boleh mak cik lupakan dia… dia ibu kepada empat cucu mak cik. Boleh dikatakan setiap hari mak cik teringat pada dia.
Sebagai umat Islam kita kena reda dengan ujian-Nya. Kita juga terima apa yang diumumkan kerajaan. Sudah setahun pesawat itu hilang, harapan untuk melihat keajaiban berlaku amat tipis.
7. Bila Rindu, Baju Kak Long Mak Cik Cium
Nasib berbeza terpaksa dilalui oleh Sarah Mohd Noh yang kehilangan anak perempuan tunggal dan menantu dalam nahas MH370. Menurut Sarah, dia masih mengharap kepulangan Norli Akmar Hamid yang dikenali sebagai kaklong dan suaminya Mohd Razahan Zamani.
Mak cik masih mengharapkan kepulangan mereka. Bila rindu, baju Kak Long mak cik cium. Doa kami sekeluarga tak pernah putus. Sudah tiga kali mak cik mimpi Kak Long balik. Jadi bertambah rindu.
Sudah setahun mereka hilang.Jika benar masih hidup, harap mereka dalam keadaan selamat. Jika tidak pun, harap ada petanda apa yang sebenarnya berlaku.
8. Cucu Sering Tanya Bila Bapa Akan Pulang
Setiap kali apabila terlihat kapal terbang, emosi bekas pekerja ladang G.Subramaniam pastinya terganggu kerana ia mengingatkan memori anak lelakinya, Puspanathan yang terlibat nahas MH370. Malah dirinya sedih setiap kali ditanya oleh cucu mengenai bapanya yang tidak pulang.
Cabaran besar yang saya hadapi adalah cuba menjawab pertanyaan dua orang cucunya yang sering bertanya bila bapa mereka akan pulang dari kerja selepas melihat rakan mereka diambil oleh bapa mereka dari tabika.
Kami pasti semua waris penumpang dan krew pesawat MH370 sedang merindui ahli keluarga mereka yang mungkin takkan pulang buat selama lamanya.
Genap setahun kehilangan, sama-samalah kita berdoa agar ada petunjuk baru tentang MH370. #SetahunMH370
Kredit Berita : Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian, mStar dan CNN