Hampir enam bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Sharifah Sakinah mengakui lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi mengenai suaminya, Cyril Kongo, kepada umum.

Artikel Berkaitan: Sharifah Sakinah Sudah Bernikah Kali Ketiga, Enggan Dedah Identiti Suami

Tidak terlalu berkongsi

Sakinah atau nama lengkap Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, berkata, biarpun kehidupannya kini bahagia, dia memilih untuk lebih berhati-hati dalam memaparkan wajah suami di media sosial kerana enggan terdedah kepada perkara tidak diingini.

Sudah pasti seronok dengan kehidupan yang sekarang. Saya tidak terlalu berkongsi wajah suami kerana risau penyakit ain. Jadi saya akan tunjukkan wajahnya hanya sekali-sekala.

Saya tidak gemar menjual kisah peribadi untuk mendapatkan wang, tetapi mungkin untuk memberi inspirasi kepada orang di luar sana.

Saya juga sekarang sangat sibuk dengan kerjaya, sehingga tiada masa nak muat naik di media sosial tentang suami.

Sakinah berkongsi perkara itu ketika ditemui di konsert minggu ketiga Talk To My Manager yang berlangsung di MBSA Shah Alam, baru-baru ini.

Ditanya mengenai hubungan suami dan anak perempuannya, Anais Adha, Sakinah memberitahu mereka sangat akrab selain berkongsi minat melukis yang sama.

Anak saya sangat rapat dengan suami. Suami merupakan seorang pelukis dan anak juga suka minat yang sama. Mereka ada ‘connection’ yang sangat kuat. Suami juga ada masa mengajar anak saya melukis.

Dalam pada itu, Sakinah memaklumkan dia akan pulang ke Malaysia jika mempunyai urusan kerja dan menetap di Bali bersama suami sekiranya tiada sebarang tawaran berlakon.

Saya akan kembali ke Malaysia jika ada tugasan kerja. Jika ada tawaran dengan naskhah yang bagus sudah pasti saya terima. Tidak mahu rugikan bakat yang ada.

Sekarang ini, suami di Bali dan saya kini di Malaysia. Masing-masing ada kerja, kami sudah berjauhan selama tiga bulan.

Untuk rekod, Sakinah dan Cyril selamat mendirikan rumah tangga pada April lalu dan ini merupakan perkahwinan ketiga aktres tersebut.

Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha pada 2015 namun bercerai pada 2020. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Anais Adha yang kini berusia 8 tahun.

Selepas itu, dia kembali bertemu jodoh kali kedua dengan lelaki asal Sweden bernama Michael hansen pada 2021 dan berakhir dengan perceraian dua tahun kemudian.