berita

Sherry Alhadad Hos Tunggal ABPBH34, Penyanyi Lagenda & Baru Bergabung Meriahkan Pentas

October 11th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Bahang kehangatan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 semakin dirasai apabila finalis bagi 14 kategori utama dan empat (4) kategori online diumumkan ketika majlis Pengumuman Malam Kemuncak ABPBH 34 yang bersiaran secara langsung melalui program Melodi di TV3, semalam.

Selain kemunculan calon wajah baru yang menjadi pilihan peminat, calon lama yang cukup sinonim dengan anugerah kebanggaan akhbar ini juga masih mendapat perhatian dan kekal relevan.

Undian pusingan kedua dah mula

Proses undian peringkat pertama pencarian Bintang Paling Popular ABPBH 34 untuk semua kategori yang dipertandingkan telah bermula pada 10 September 2021 dan berakhir pada 3 Oktober 2021. Manakala undian pusingan kedua diadakan bermula 10 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021.

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama penaja utama, Xiaomi menerusi laman web ABPBH 34 di www.abpbh.com.my.

Pemenang setiap kategori utama dan kategori online termasuk Bintang Paling Popular dipilih berdasarkan undian tertinggi diperoleh calon Top 5 sepanjang proses undian peringkat terakhir ini.

Pengarang Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Shamshul Azree Samshir berkata sokongan yang diberikan oleh peminat pada proses undian peringkat pertama sangat memberangsangkan.

Walaupun penganjuran ABPBH diteruskan lagi dalam suasana norma baharu, kami melihat peminat masih tetap setia menyokong ABPBH dengan mengundi artis-artis kesayangan mereka. Peminat berlumba-lumba untuk pastikan idola mereka memenangi kategori yang dipertandingkan sekaligus meraih kemenangan Bintang Paling Popular ABPBH 34.

Untuk merancakkan lagi proses undian, kami juga ingin mengumumkan senarai 10 artis yang mendapat undian tertinggi pada pusingan pertama undian calon awal ABPBH 34.

Sherry jadi hos kali kedua

Pengacara popular dan juga pelakon, Sherry Alhadad diumumkan sebagai hos edisi ke-34 ABPBH manakala hos karpet merah akan dikendalikan oleh pelakon dan juga penyanyi Izzue Islam berganding dengan penyanyi muda wanita yang juga pengacara iaitu Sissy Imann.

Antara artis yang akan menyerikan segmen persembahan ABPBH kali ini membabitkan bintang yang layak bergelar lagenda selain bakat baru yang pantas akan mendaki tangga populariti.

Pentas ABPBH 34 akan dirancakkan oleh persembahan Kaka, Ella, Zizi Kirana, Fauziah Latiff, Aina Abdul, Man Kidal, Datuk Zainal Abidin, Hazama, Haqiem Rusli, Ramlah Ram, Jay Jay, Syamel, Anuar Zain dan penyanyi lagu parodi, Azman Naim 44 Mantra.

Pada malam kemuncak ABPBH 34, sebanyak empat belas kategori utama yang bakal dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular.

Turut dipertandingkan adalah enam (6) kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular, Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular.

Bagi kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis TikTok Popular, undian sudah pun bermula pada 4 Oktober lalu dan akan berakhir pada 7 November 2021 di laman aplikasi TikTok. Bagi peminat yang hendak menyertai #ABPBH34 kempen video TikTok, mereka boleh ikuti akaun TikTok TV3Malaysia dan XiaomiMalaysia.

Malam kemuncak ABPBH 34 yang dibawakan penaja utama, Xiaomi, akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 13 November 2021.

Bertemakan #KITABERSAMA, malam kemuncak ABPBH 34 akan dilaksanakan dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Acara ini boleh disaksikan secara langsung melalui saluran TV3 dan Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH, TikTok serta laman web ABPBH di www.abpbh.com.my.

SKIP THIS AD ×