
Semakin ligat di pentas antarabangsa terutama di China, penyanyi, Shila Amzah enggan mengiyakan mahupun menidakkan mengenai dakwaan kadar bayarannya kini semakin tinggi serta dibayar dalam bentuk mata wang dollar.
Artikel Berkaitan: Shila Amzah Rindu ‘Perform’ Lagu Bahasa Melayu
Artikel Berkaitan: Shila Amzah Jadi Juara Mingguan Pertandingan ‘Singing With Legends’ Di China, Layak Terus Ke Peringkat Akhir
Bayaran berbaloi
Shila atau nama lengkap Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, terpulang kepada hak individu untuk meletakkan nilai kepada dirinya, namun percaya rezeki yang diberikan hari ini tidak datang bergolek tanpa usaha keras.
Saya hanya mampu ucap alhamdulillah, semua ini adalah rezeki. Saya percaya usaha keras dan kejayaan itu tidak pernah mengkhianti hasil.
Daripada segi mahal atau tidak terpulang kepada individu yang menilai, saya tahu nilai saya. Bergantung kepada hak masing-masing.
Berkaitan dibayar dalam mata wang dollar, apa yang saya boleh katakan di Malaysia saya terima bayaran dalam wang ringgit. Jika di negara lain mengikut mata wang negara tersebut.
Shila berkata demikian ketika ditemui di sidang media Raise The Star yang berlangsung di sekitar ibu kota, pada Khamis.
Bakat dihargai di China
Dalam pada itu, Shila turut mengulas mengenai cakap segelintir wargamaya yang mengatakan bakatnya lebih dihargai di China berbanding tanah air.
Jawab pelantun lagu Patah Seribu itu, dia tidak memandang perkara tersebut sebagai hal serius, sebaliknya menghargai setiap respon positif peminat yang tidak henti memberi sokongan.
Bercakap fasal dihargai, ketika saya baca komen di sosial media ramai yang hargai saya. Alhamdulillah, baik di negara sendiri mahupun negara luar.
Saya juga gembira lihat apabila ramai berkongsi semula video persembahan saya di luar negara dan itu membuatkan saya lebih semangat untuk terus berkarya.
Lebih dihargai di mana-mana itu bukan satu isu. Saya gembira apabila orang lihat bakat dan apa yang saya sudah usahakan.
Dalam perkembangan terkini, Shila bakal menjurikan program Raise The Star yang bakal bersiaran di Astro Ria bermula 22 Jun ini. Selain Shila, kerusi juri turut dibarisi Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatana dan Aina Abdul.