
Pelawak dan usahawan, Shuib akan memastikan anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra tidak lagi mengulangi kesilapan sama iaitu menyarung pakaian yang mencetuskan kontroversi pada masa akan datang.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Watie Hanifiah Perjelas Isu Baju Thalita Seksi, Terima Teguran Daripada Shuib – ‘Bila Halang Akan Memberontak’
Ambil iktibar

Shuib, 41, berkata sebagai seorang bapa, dia memandang serius perkara tersebut dan telah menasihati anaknya selain menjadikan insiden sebelum ini sebagai satu pengajaran.
Insya-Allah tidak akan berulang lagi. Sebagai ayah sudah tentu saya sangat ambil berat. Pada hari kejadian saya sudah beri teguran. Saya jenis yang beri reaksi lembut, tapi ada tindakan berat selepas itu.
Shuib berkata demikian ketika ditemui pada acara Gempak Most Wanted Award 2025 (GMWA) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.
Sementara itu, Thalita mengakui dia menerima segala teguran dengan hati terbuka dan berharap orang ramai terus mendoakannya.
Saya mengambil iktibar dan berterima kasih kepada sesiapa yang tegur saya. Insya-Allah doakan saya supaya dapat berpakaian lebih sopan dan bertudung kelak.
Dalam pada itu, isteri Shuib iaitu Watie Hanifiah mengakui terdapat kekhilafan daripada pihaknya berhubung pemilihan busana untuk digayakan Thalita.
Daddy sudah tegur sebaik tiba di lokasi dan terkejut melihat pakaian tersebut. Namun teguran dibuat secara lembut kerana kami berada di acara dan tidak mahu mengganggu suasana.
Bila balik ke rumah, Shuib beritahu tidak mahu Thalita memakai rekaan seperti itu lagi. Bila berdua dengan Thalita, saya beritahu daddy tegur tentang pakaiannya. Kami semua ambil iktibar daripada kejadian ini.
Terdahulu, Thalita mencuri perhatian apabila tampil anggun mengenakan gaun labuh rona merah jambu dengan rekaan off-shoulder ketika menghadiri acara ‘gender reveal’ anak sulung Watie.
Namun begitu, penampilannya itu mengundang kecaman segelintir netizen yang berharap agar ibu bapanya lebih memantau gaya pemakaian Thalita memandangkan usianya yang masih remaja.








