berita

Siang Bawa Mayat, Malam Buat ‘Part Time’ Angkut Sampah

December 3rd, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Tindakan sebuah syarikat van pengurusan mayat yang dipercayai menggunakan kenderaan itu untuk mengangkut sampah pada waktu malam berjaya dihidu oleh penguatkuasa SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Van Jenazah digunakan untuk buang sampah

Menurut Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib, pihak penguatkuasa telah melakukan intipan serta risikan selama beberapa hari dan kejadian berkenaan dikesan di lorong belakang Jalan Metro perdana Timur 10, Kepong.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan untuk melupuskan sisa pepejal terkawal (sisa bercampur) di Kepong Entrepeneurs Park (KEP), Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, hasil rakaman litar tertutup (CCTV) berjaya merakam pergerakan pemandu serta kelindan van pengurusan mayat tersebut sedang melupuskan sisa terbabit di lokasi berkenaan.

Kami berjaya mengenal pasti kenderaan yang digunakan oleh suspek ketika melakukan pembuangan sisa pepejal terkawal di lokasi kejadian. Van mayat tersebut telah disita untuk siasatan lanjut.

Pesalah akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, (Akta 672) iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.

Sehubungan itu, jika didapati bersalah, pelaku akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjara selama lima atau enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Kosmo 

SKIP THIS AD ×