Sejak minggu lalu, negara kita gempar dengan berita kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang masih tidak dapat dikesan kedudukannya sehingga hari ini.
Berikutan kejadian itu, umum pasti menyedari bahawa pekerjaan sebagai juruterbang dan juga krew penerbangan memerlukan pengorbanan yang besar kerana ia amat berisiko.
Namun, bagi bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia ke-7 ini, dia sama sekali tidak pernah membantah isterinya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pramugari walaupun sedar dengan risiko yang terpaksa ditanggung.
Aril dan isterinya, Puteri Erma tampil kacak dan anggun di majlis resepsi mereka
Memetik laporan Malaysian Digest, Aril mengakui tugas isterinya, Puteri Erma yang bekerja sebagai pramugari Saudi Arabian Airlines sentiasa berdepan dengan risiko. Namun, dia tidak pernah berhenti memberi galakan kepada isterinya sejak awal lagi.
Awal-awal lagi saya sudah redha dengan apa yang akan jadi pada masa akan datang. Pada saya, selagi dia mampu untuk teruskan kerjaya dia, saya benarkan dia bekerja.
Saya tak pernah halang kerja dia sebab saya tahu bukan semua orang berani lepaskan impian mereka. Saya sentiasa doakan keselamatan dia.
Bagi Aril, sungguh pun tugas isterinya membuatkan mereka sentiasa berjauhan, itu tidak menjadi masalah kerana ia mengeratkan lagi hubungan mereka sebagai suami isteri.
Malah, dia turut meminta semua rakyat Malaysia hentikan segala spekulasi dan teruskan berdoa agar semua penumpang dan krew pesawat terbabit selamat.
Saya berharap, masyarakat tidak terus menyebarkan maklumat yang tidak sahih agar kita tidak menguris mana-mana pihak terutama ahli keluarga sama ada penumpang-penumpang juga kru pesawat tersebut.
Untuk pengetahuan, Aril baru sahaja melangsungkan majlis resepsinya yang penuh meriah di Saloma Bistro minggu lepas.
Sebelum ini, pasangan merpati dua sejoli itu telah selamat diijabkabulkan pada 20 Disember 2013 di kampung halaman pengantin perempuan di Kelantan.
Foto: Instagram Aril & Puteri