berita

Siti Bainun Didapati Bersalah Dera Bella

May 3rd, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Utusan Malaysia

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan pengasas Rumah Bonda iaitu Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella, dua tahun lalu.

Siti Bainun didapati bersalah

Foto: Free Malaysia Today

Hakim Mahkamah Sesyen iaitu Izralizam Sanusi berpendapat bahawa pihak pembelaan gagal mengemukakan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Susulan itu, hakim memberi peluang kepada peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf, untuk merayu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berusia 31 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siti Bainun yang memakai baju kuning dan berseluar hitam ditemani seorang wanita, tiba di Kompleks Mahkamah sekitar 8.20 pagi tadi bagi mengetahui nasibnya sama ada dilepaskan atau disabitkan atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.

Terdahulu, kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan daripada itu iaitu pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Pada 25 November tahun sama, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.

Sumber: Free Malaysia Today

 

SKIP THIS AD ×