Aktres Siti Khadijah Halim mendedahkan pernah menerima layanan buruk oleh krew produksi pada awal kemunculannya sebagai pelakon.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pelakon ‘From Saga With Love 2‘ Tertipu Dengan ‘Prank’ Hun Haqeem – ‘Aku Dah Agak Dah’
Artikel Berkaitan: Siti Khadijah Tak Sabar Nak Bagi Duit Raya, Sempat Curi Masa Sempurnakan Resepi Rendang
Dimaki
Menurut Siti, 27, antara layanan buruk yang diterima adalah dicampakkan skrip di depan mata, ‘disidai’ dari pagi hingga ke malam di set penggambaran dan juga dimaki.
Pernah awal kemunculan dulu, saya menerima layanan yang kurang baik daripada krew produksi. Mungkin saya dimarah dan diherdik kerana masih baharu ketika itu.
Saya pernah dicampak skrip depan mata, saya pernah disimpan (kena sidai) di set penggambaran dari pagi hingga malam. Kata ada babak saya tapi sebenaranya tiada.
Kalau dimaki itu perkara normal. Saya sudah tidak mahu bekerja dengan pihak itu lagi, itu kali pertama dan kali terakhir.
Siti berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana dua episod akhir drama From Saga With Love 2 yang diadakan di ibu kota, pada Rabu.
Bangkit & lawan
Tutur Siti lagi, insiden yang berlaku tidak sekali mematahkan semangat dan minatnya terhadap dunia lakonan. Sebaliknya, dia bangkit dan bertahan menjadikan dirinya kuat hingga ke hari ini.
Saya bersyukur kerana saya seorang yang kuat. Saya dididik untuk kental, kalau tak kuat mungkin tak mampu bertahan hingga sekarang.
Segala pengalaman terdahulu menjadikan siapa saya hari ini, tidak mudah berputus asa. Tipu kalau saya tak menangis melalui semua itu, tetapi saya bangkit.
Saya menangis dan luahkan segala perasaan itu, kalau marah saya akan marah dengan dinding. Tidak bagus untuk pendam. Itu akan mengganggu kesihatan mental.
Hentikan budaya buli
Justeru, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berharap budaya buli di set penggambaran terutama kepada pendatang baharu tidak dinormalisasikan.
Saya harap budaya buli tidak dinormalisasikan dan dihentikan. Kalau saya nampak ada yang dibuli saya akan bersuara.
Tapi budaya buli ini wujud di mana-mana, di tempat kerja, di sekolah dan di universiti. Mungkin kita semua pernah membuli dan pernah menjadi mangsa buli tanpa sedar.
Saya sendiri melalui perkara itu, ada kalanya rasa kelakar apabila berlaku di tempat kerja. Saya fikir orang yang di tempat kerja semua sudah matang, namun tidak juga.
Selain Siti, From Saga With Love 2 turut dibintangi Hun Haqeem, Sophia Albarakbah, Ikmal Amry dan Fimie Don.