Bukan setakat Datuk Seri Siti Nurhaliza terkenal, kini kedua anaknya iaitu Siti Aafiyah Khalid, 4, dan Muhammad Afwa Khalid, 1, juga sudah menjadi tumpuan ramai orang.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Bukanlah Ibu Yang Sempurna, Masih Lagi Belajar’ – Siti Nurhaliza
Serah pada suami
Biarpun semakin popular, penyanyi nombor satu negara ini belum terfikir menyediakan ‘bodyguard’ atau pengawal peribadi demi keselamatan anak-anak.
Kata Siti, 43, dia tidak menolak sekiranya suami tercinta, Datuk Khalid Mohd. Jiwa membuat keputusan untuk memasang.
Setakat ini, belum lagilah (menyediakan pengawal peribadi untuk anak-anak). Saya serahkan semuanya kepada suami.
Saya pun tak ada menggunakan ‘bodyguard’ setiap masa, cuma dalam acara tertentu saja untuk menjaga keselamatan ketika mengadakan persembahan. Kalau biasa-biasa itu, tak ada.
Siti berkata demikian ketika sidang media ‘Queen Of The Night’ di Menara Berkembar Petronas, pada Rabu.
Hadiah untuk B40
Mengulas lanjut tentang persembahan itu, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin teruja untuk menghiburkan peminat dalam golongan B40 pada Ogos ini.
Selaku penganjur projek, Be De Paris, persembahan ‘Queen Of The Night Siti Nurhaliza’ akan dihadiri kira-kira 450 orang dalam kalangan Keluarga Malaysia, golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan anak yatim.
Saya bersyukur semua jualan meja dibuat untuk persembahan ini sudah dibeli Yayasan Metamorphosis untuk mereka kongsikan dengan golongan B40 terpilih yang mungkin sudah lama teringin menyaksikan persembahan saya.
Saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk menghiburkan mereka yang menjadi penonton istimewa saya pada malam itu nanti.
Dalam pada itu, pelantun lagu Anta Permana memberitahu dia akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu yang berkisar kepada wanita dan inspirasi dalam tempoh 90 minit persembahan.
Sumber: Instagram @ctdk