Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur selepas menerima 14 pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), sekali gus menjadi calon yang paling mendominasi pada edisi kali ini.

Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Dominasi AIM25 Dengan 14 Pencalonan, Ini Senarai Penuh Setiap Kategori

Mendominasi AIM25

Menerusi hantaran di Instagram, Siti, 47, menyifatkan semua pencalonan yang diterima sebagai satu rezeki, namun baginya kemenangan bukanlah ukuran utama dalam perjalanan seseorang penggiat seni.

Sebaliknya, konsistensi untuk terus berkarya dengan ikhlas melalui bakat yang dikurniakan menjadi pegangannya.

Alhamdulillah, bersyukur atas rezeki 14 pencalonan di Anugerah Industri Muzik 25. Menang, kalah, tercalon banyak, tercalon sedikit atau pulang kosong, semua fasa itu telah saya lalui dalam pelbagai anugerah di dalam industri.

Namun anugerah sebenar seorang penggiat seni adalah konsistensi. Kita tidak berhenti berjuang, berkarya, ikhlas berkongsi bakat dan membuka peluang kolaborasi untuk terus betkembang.

Anugerah itu bonus, setiap insan di hadapan dan di belakang tabir berhak dihargai.

Dalam masa sama, Siti turut berterima kasih kepada barisan juri profesional yang memberi pengiktirafan kepada album Gema Bumantara dan lagu Raya Nak Ke Mana sehingga berjaya mendapat tempat sebagai lima calon akhir.

Sebagai penerbit dan penyanyi untuk album Gema Bumantara dan juga lagu Raya Nak Ke Mana, saya ingin berterima kasih kepada juri yang memandang dan melihat sesuatu pada karya kami dan mendapat tempat sebagai lima calon akhir.

Menerusi pencalonan ini, ada orang lama dan baharu, ada legenda, ada anak muda, anak pelbagai bangsa, ada seseorang yang baharu pertama kali, mereka inilah ‘jantung’ kepada semua karya saya.

Siti tercalon dalam kategori Vokal Wanita Terbaik, tiga pencalonan kategori Kolaborasi Artis/ Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/ Penulis Lagu Luar Negara Terbaik dan empat karya untuk kategori Lagu Tradisional Terbaik.

Selain itu, pelantun lagu Kesuma itu turut tercalon dalam kategori Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Lagu Perayaan Terbaik.

Dua lagi kategori adalah Rakaman Album Terbaik serta dua naskhah menerusi kategori Rakaman Lagu Terbaik.

Sumber: Instagram