Syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia perfileman selepas karya terbaharunya, Soloz: Game of Life, berjaya menembusi pasaran antarabangsa, di Thailand.

Artikel Berkaitan: Kisah Hidup Soloz Difilemkan dalam Movie E-Sports Pertama Malaysia, Soloz: Game Of Life!

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Soloz Harap Filem Dapat Buka Mata Generasi Muda Tentang Realiti Sebenar E-Sport, Enggan Momen Beli Mustang Dijadikan ‘Scene’

Mengisahkan figura E-sukan

Menurut penerbit filem ini, Rahila Ali, naskhah yang diarahkan oleh Syafiq Yusof itu dijadualkan mula menghiasi layar di Thailand pada 4 Disember 2025, melibatkan tayangan di lebih 80 pawagam di seluruh negara.

Alhamdulillah, tidak pernah saya bayangkan filem ini mampu melangkah sehingga ke pasaran Thailand.

Ini satu pengiktirafan besar buat Key Billions Sdn. Bhd. dan seluruh pasukan yang telah memberikan komitmen serta tenaga sepanjang proses penerbitan.

Sudah tentu ini menandakan kejayaan penting buat filem Malaysia yang jarang menembusi pasaran negara itu dan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka namun amat membanggakan.

Filem ini mengisahkan tentang perjalanan Muhammad Faris Zakaria, atau lebih dikenali sebagai Soloz, seorang figura E-sukan Malaysia yang mencipta nama melalui arena Mobile Legends: Bang Bang.

Filem Soloz: Game of Life, dibintangi barisan pelakon popular, antaranya Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon, serta Nia Atasha.

Proses alih suara

Rahila menjelaskan bahawa usaha membawa filem tersebut dalam menembusi pasaran Thailand bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi apabila negara tersebut terkenal dengan sikap berhati-hati dalam menerima karya asing.

Tidak dinafikan prosesnya memang mencabar kerana pasaran Thailand sangat kompetitif dan mereka akan memilih filem luar dengan teliti.

Namun kami percaya kepada kekuatan cerita, visual dan emosi dalam filem ini dan dengan usaha berterusan dan keyakinan rakan pengedaran, akhirnya kami berjaya membuka laluan tersebut.

Bagi penayangan di Thailand, Rahila memaklumkan juga bahawa produksi tersebut menjalin kerjasama dengan Mstudio.

Syarikat tersebut merupakan pengedar yang mempunyai kedudukan kukuh dalam industri tempatan dan berpengalaman luas dalam rangkaian pengedaran antarabangsa.

Katanya lagi, selepas sesi pratonton, wakil Mstudio memberikan reaksi yang sangat menggalakkan.

Mereka tertarik dengan gabungan lakonan sebenar bersama elemen CGI yang memberikan nuansa moden dan memperkasa nilai sinematik filem berkenaan.

Sejak awal lagi mereka sudah melihat potensi Soloz: Game of Life untuk diperkenalkan kepada penonton serantau.

Pengalaman mereka mengedarkan filem-filem Asia memberi keyakinan besar kepada kami.

Mereka melihat pendekatan visual yang menampilkan pertembungan antara dunia realiti dan dunia permainan turut dikenal pasti berpotensi menarik minat penonton muda, terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand.

Ujarnya lagi, bagi menyesuaikan naskhah itu dengan cita rasa penonton Thailand, keseluruhan filem telah melalui proses alih suara ke bahasa Thai.

Langkah ini diambil agar penonton tempatan di negara tersebut dapat menonton dengan lebih selesa dan terlibat sepenuhnya dengan jalan ceritanya.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan harapannya agar kejayaan Soloz: Game Of Life memasuki pasaran Thailand menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya Malaysia menembusi pasaran global pada masa akan datang.

Sudah tentu saya ingin penonton di Thailand menikmati dan menghargai jalan cerita yang kami persembahkan.


Jika langkah ini membuka lebih banyak peluang untuk filem Malaysia diterima di luar negara, pasti ia sudah menjadi satu kejayaan besar buat kami semua.

Acara Malam Gala serta tayangan perdana Soloz: Game Of Life telah berlangsung pada 2 Disember di Bangkok.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelakon utama, Hun Haqeem, bersama Pengasas merangkap Penerbit Eksekutif Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, yang menjadi individu penting dalam merealisasikan kemasukan filem itu ke pasaran Thailand.