berita

SOP Ketat Di Program 100 Hari AKM, Elak Kebimbangan Masyarakat

December 8th, 2021 | by Nurul
Kini Trending

Masyarakat tidak perlu bimbang dengan penularan COVID-19, termasuk ketika menghadiri Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bermula Khamis hingga Ahad ini sekiranya mereka kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata penularan wabak itu hanya akan berlaku apabila masyarakat mula lalai dalam aspek pematuhan SOP.

“Sama juga dengan penganjuran 100 Hari AKM yang akan diadakan bermula 9 hingga 12 Disember ini dengan kerajaan sudah menyediakan satu SOP yang ketat.

Kredit: Berita Harian

Menyedari kebimbangan orang ramai dengan varian (VOC) Omicron, Datuk Rodzi yakin sekiranya SOP dipatuhi, kita pasti dapat mengekang penularan virus ini.

“Apa yang penting kini bagaimana pengunjung dan penganjur dapat memainkan peranan masing-masing serta bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan SOP mereka berada di tahap tertinggi,” tambahnya.

Program 100 Hari AKM akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Khamis ini akan mempunyai pelbagai acara seperti karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, bual bicara usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan.

Rodzi berkata, jika dilihat angka penularan COVID-19 di negara ini dapat diturunkan dan ia boleh dicapai dengan pematuhan SOP.

“Tanpa SOP ini, untuk turunkan jumlah kes COVID-19 di bawah 3,000 amat sukar untuk dicapai. Kesedaran rakyat terhadapnya (SOP) sudah ada, mereka tahu apa perlu dibuat, cuma kadang-kadang terleka dan cenderung mengambil sikap mudah serta beranggapan tidak akan menjadi mangsa virus ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku sepanjang tempoh penganjuran program itu.

Tindakan intervensi akan segera diambil

Menurut Rodzi lagi, jika terdapat kes positif, tindakan intervensi segera akan diambil dengan penganjur akan terus melakukan sanitasi kawasan yang terbabit sehingga proses selesai.

“Selain itu, kita turut dibantu penasihat pakar kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk melakukan pemantauan,” katanya.

Mengenai sama ada kanak-kanak dibenarkan menyertai program itu, Rodzi berkata, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dibenarkan turut serta dengan pemantauan ibu bapa.

“Bagi usia 13 tahun ke atas perlu lengkap vaksinasi, manakala di bawah 12 tahun pula dengan syarat kedua-dua ibu bapa mereka lengkap vaksinasi,” katanya kapasiti program itu boleh memuatkan 20,000 pengunjung pada satu-satu masa, namun dengan mementingkan penjarakan fizikal, pihaknya mengehadkan kepada 10,350 individu.

Memberikan contoh program dilaksanakan di Aras Satu, Rodzi berkata, hanya 2,000 pengunjung dibenarkan walaupun kapasiti penuhnya seramai 6,000 pengunjung.

“Aras itu membabitkan penganjuran karnival kerjaya dan kita menjangkakan ramai pencari kerja akan mengambil peluang untuk hadir.

“Jika di Aras Tiga, kapasiti penuh seramai 2,000 orang, tetapi kita benarkan 750 orang pada satu-satu masa. Kita mahu syarat utama SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu penjarakan fizikal dapat dilaksanakan,” katanya.

SKIP THIS AD ×