
Pelakon, Redza Rosli terus bergegas pulang dan enggan bertemu pengamal media sejurus selesai Sidang Media Pentas Drama TV Alhijrah 2026 yang berlangsung pada Khamis.
Artikel Berkaitan: Redza Rosli & Bella Hanna Hadir Ke Mahkamah Syariah Cetus Tanda Tanya
Elak media

Pada awalnya, Redza, 34, dikatakan dia bersedia untuk bertemu media selepas ke tandas. Bagaimanapun, dia kemudian dilihat keluar menggunakan pintu belakang sebelum terus menuju ke keretanya jenis Mercedes berwarna putih.
Usaha pengamal media untuk mendapatkan kenyataan daripada Redza tidak berhasil apabila aktor berkenaan bergerak pantas ke arah kenderaan sebelum beredar dari lokasi.
Redza hadir ke sidang media berkenaan bagi mempromosikan telemovie lakonannya, Azan Terakhir Seorang Pendosa.
Terdahulu, kelibat Redza bersama isterinya, Bella Hanna di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencetuskan tanda tanya.
Bagaimanapun, Redza ketika itu hanya sempat menyapa sebelum memohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berhubung kehadiran mereka di mahkamah.
Sebelum ini, Bella turut mencetuskan persoalan dalam kalangan pengikut apabila memuat naik foto di sekitar kawasan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 2 Julai lalu.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di platform Threads, Bella menjelaskan berlaku salah faham dalam kalangan pengikut berhubung perkongsian yang dimuat naik menerusi Instagram Story ketika itu.
Untuk rekod, Redza mendirikan rumah tangga bersama Bella pada 21 Jun 2024. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Aydrean Raess, pada 13 Januari lalu.



![[VIDEO] Ramai Sangka Hasil AI, Babak Inspirasi ‘Ghibli’ Iklan GSC Ini Adalah Animasi Sebenar](https://media.says.com/2026/09/adgscci-scaled.jpg)




