Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila bayi mereka yang berusia 47 hari terperangkap dalam kenderaan. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di lorong sekolah Jalan Alor Merah, sekitar pukul 2 petang Isnin.
Bayi terperangkap dalam kereta
Memetik laporan Sinar Harian, bayi perempuan yang terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva itu berjaya diselamatkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar. Menurut Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Rusdi Lazim bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan sekitar jam 2:21 petang.
Susulan itu, anggota bomba bertindak membuka pintu kereta bagi mengeluarkan bayi perempuan yang terperangkap dalam kenderaan tersebut menggunakan peralatan khas.
Menurut sumber, pihak bomba mengambil masa hampir lima minit untuk mengeluarkan bayi tersebut. Tambah Ahmad Naufal, operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 2.43 petang.
Sumber: Sinar Harian