
Tidak dinafikan, ramai isteri berasa sedih dan berkecil hati apabila melihat suami aktif berkongsi tentang kerja dan hobi tetapi jarang memuat naik momen bersama keluarga di media sosial.
Suami tak nak ambil gambar?
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Public Health mengatakan bahawa dari perspektif psikologi, sebahagian lelaki dibesarkan mengikut norma maskuliniti yang menekankan pengawalan emosi atau dikenali sebagai ‘restrictive emotionality’.
Akibatnya, mereka mungkin berasa janggal atau tidak selesa apabila diminta mengambil gambar bersama isteri dan anak atau menulis kapsyen mesra di media sosial.
Wanita lebih cenderung menggunakan gambar untuk menunjukkan hubungan dan emosi, manakala lelaki lebih kerap berkongsi aktiviti, pencapaian atau status.
Sebab itu kadang-kadang suami diam, tapi bukan kerana tidak sayang, cuma cara tunjuk sayang tidak melalui kamera.
Bagi ramai suami, bahasa cinta mereka bukan pada feed media sosial, tetapi pada perkara seharian yang senyap seperti keluar kerja cari rezeki, bayar bil, baiki apa yang rosak, hantar dan jemput anak, pastikan rumah dan keluarga cukup makan.
Nasihat untuk lelaki dan wanita
Jurang antara cara lelaki dan wanita mengekspresikan kasih sayang boleh menyebabkan isteri merasa kurang diiktiraf jika memori keluarga tidak disimpan dalam bentuk visual.
Untuk wanita, cuba tukar cara beri mesej. Bukan dengan sindir, ‘Orang lain selalu post pasal isteri, awak je tak’. Sebaliknya beritahu dengan jelas dan lembut., ‘Abang, saya nak gambar ni untuk kita, untuk anak tengok bila dia dah besar nanti, bukan semata-mata untuk tunjuk pada orang.’
Bila suami sudi ambil atau masuk dalam gambar walaupun sekali sekala, hargai dan ucap terima kasih. Otak manusia belajar daripada pengalaman yang positif, bukan daripada rasa dimalukan.
Manakala bagi lelaki, fahami perspektif isteri dan luangkan masa untuk memotret gambar bersama keluarga sebagai tanda kasih sayang.
Untuk lelaki, cuba lihat daripada kaca mata isteri. Bagi anda, satu klik mungkin nampak remeh. Tapi bagi isteri yang penat mengandungkan, melahirkan, membesarkan anak, satu gambar yang ada muka anda dalam frame boleh jadi benda yang sangat dia hargai.
Sekali sekala, letak telefon, pandang wajah isteri dan anak, dan ambil satu dua gambar. Tidak perlu caption hebat. Cukup sekadar anda wujud dalam memori mereka.
Suatu hari nanti bila anak buka album dan nampak wajah ayah di situ, mesej yang mereka baca dalam hati sangat sederhana tetapi besar, ‘Ayah memang ada dalam hidup kami.’
Sumber: Public Health