Seorang wanita berusia 40 tahun menjadi mangsa tetakan suaminya selepas disyaki berbual dengan seorang jiran lelaki di Kampung Mangkupa, Kota Marudu, Sabah kira-kira jam 8.30 pagi.

Artikel Berkaitan: Lelaki Disyaki Tetak Isteri & Anak Guna Parang

Artikel Berkaitan: 40 Tahun Berdendam, Warga Emas Tetak Jiran Hingga Maut

Cemburu berbual dengan jiran

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian dagu, leher, kedua-dua tangan dan lutut selepas dipercayai diserang suaminya sendiri.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomidin, mangsa dipercayai bertengkar dengan suaminya selepas menafikan dakwaan bahawa dirinya berbual dengan jiran lelaki sebelum ditetak.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan cemburu suspek berusia 50 tahun terhadap mangsa.

Mangsa ada keluar ke halaman rumah untuk melihat keadaan di luar sebelum ditegur suspek yang melarangnya berbual dengan jiran lelaki.

Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Dalam pada itu, saksi yang merupakan anak saudara mangsa memaklumkan wanita berkenaan cuba menyelamatkan diri menyebabkan dia mengalami beberapa kecederaan pada tubuh.

Mangsa bergelut dengan suspek di halaman rumah ketika suspek meletakkan parang pada lehernya.

Dalam masa sama, mangsa cuba menahan libasan parang menggunakan kedua-dua tangannya sehingga mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan, bawah dagu, kening dan lutut.

Selepas melihat mangsa berlumuran darah, suspek dipercayai menjadi takut lalu melarikan diri dari lokasi kejadian.

Selain itu, suspek didakwa sering menuduh isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan jiran-jiran meskipun mangsa berkali-kali menafikan tuduhan tersebut.

Difahamkan, suspek yang merupakan warga Indonesia masih diburu polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Sumber: Sinar harian