Ramai penyanyi Indonesia berjaya membina kerjaya yang kukuh di Malaysia menerusi konsert yang sentiasa mendapat sambutan, karya yang menjadi runut bunyi drama dan filem, serta kolaborasi bersama artis tempatan yang mengeratkan lagi hubungan industri muzik kedua-dua negara.

Daripada komposer legenda sehinggalah bintang pop moden, berikut lima penyanyi Indonesia pilihan, dari kategori senior dan junior yang bukan sahaja mencipta fenomena di tanah air sendiri, malah turut meninggalkan impak dalam perkembangan industri muzik Malaysia.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rossa Beri Respon Isu Lagu Sinaran, Faham Situasi Nora Ariffin – ‘Dia Sedang Memperjuangkan Hak’

Artikel Berkaitan: Konsert Judika & Siti Nurhaliza Meriah Dengan 24,000 Penonton! Geng OT, ‘Aku Cinta Padamu’ Versi Dangdut & Peminat Berjoget Antara Momen Terindah

Penyanyi Indonesia beri impak besar dalam muzik tempatan

1. Datuk Seri Rossa

Jika ada seorang penyanyi Indonesia yang boleh dianggap memiliki ‘rumah kedua’ di Malaysia, Rossa ialah jawapannya.

Sejak awal tahun 2000-an, Rossa konsisten mencipta populariti menerusi lagu seperti Tegar, Pudar, Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta, Terlalu Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti. Lagu-lagunya sering mendominasi carta radio tempatan, menjadi runut bunyi drama serta sering dipilih dalam pertandingan nyanyian.

Rossa juga antara artis Indonesia yang paling kerap mengadakan konsert solo di Malaysia. Setiap kemunculannya sentiasa mendapat sambutan hangat, sekali gus membuktikan beliau mempunyai kelompok peminat yang cukup besar di negara ini.

Kolaborasi bersama artis Malaysia

Hubungan Rossa dengan industri muzik Malaysia cukup erat. Rossa pernah berduet bersama Hafiz Suip menerusi lagu Salahkah dan berkolaborasi bersama MK K-Clique dalam versi baharu Sinaran, sebagai penghormatan kepada lagu ikonik Datuk Sheila Majid.

2. Afgan

Nama Afgan mula menjadi sebutan di Malaysia selepas kemunculannya menerusi lagu Terima Kasih Cinta pada 2008. Sejak itu, penyanyi kelahiran Jakarta ini terus mengukuhkan popularitinya dengan deretan lagu hit seperti Bukan Cinta Biasa, Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Jodoh Pasti Bertemu dan Panah Asmara.

Keistimewaan Afgan terletak pada vokalnya yang lembut dan penuh emosi, menjadikan lagu-lagu baladanya dekat di hati pendengar Malaysia. Tidak hairanlah Afgan sering menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan konsert solo di negara ini, selain tampil sebagai artis jemputan dalam pelbagai acara muzik dan televisyen. Popularitinya yang konsisten selama hampir dua dekad membuktikan pengaruh muzik pop Indonesia terus kukuh dalam pasaran tempatan.

Kolaborasi bersama artis Malaysia

Hubungan Afgan dengan industri muzik Malaysia turut diperkukuhkan menerusi kolaborasi bersama Datuk Sheila Majid. Pada 2018, Afgan merakam semula lagu hit Bawalah Cintaku dalam versi duet bersama penyanyi jazz tersohor itu sempena album DEKADE yang diterbitkan bagi meraikan ulang tahun ke-10 perjalanan seninya. Lagu yang asalnya dimuatkan dalam album The One (2010) itu diberi nafas baharu menerusi gabungan vokal romantis Afgan dan keunikan suara Sheila Majid. Sebelum itu, Afgan pernah merakamkan semula lagu nyanyian Sheila, Ku Mohon pada 2014.

3. Melly Goeslaw

Bercakap mengenai muzik Indonesia, nama Melly Goeslaw sememangnya sukar dipisahkan. Bukan sekadar penyanyi, Melly merupakan antara komposer dan penulis lirik paling ikonik di Nusantara yang telah menghasilkan ratusan lagu malar segar.

Karya seperti Ada Apa Dengan Cinta?, Bimbang, Gantung, Ku Bahagia, Jika dan Tentang Seseorang bukan sahaja menjadi fenomena di Indonesia, malah turut mendapat sambutan luar biasa di Malaysia. Banyak hasil ciptaannya menjadi runut bunyi filem popular Indonesia yang turut mencetuskan fenomena di negara ini, sekali gus memperkenalkan gelombang pop Indonesia kepada generasi baharu peminat muzik tempatan.

Kolaborasi bersama artis Malaysia

Pengaruh Melly dalam industri muzik Malaysia juga menebal apabila ramai penyanyi yang berkolaborasi dengan figura itu seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza (Biarlah Rahsia, Pastikan, Kuasa Cintamu, Jenjang Cinta), Datuk Yusry Abdul Halim (duet bersama Melly dalam lagu Dibius Cinta) dan Aina Abdul (duet bersama Fabio Asher dalam lagu Cinta Tak Pernah Tepat Waktu).

Terbaharu, karya Melly terus terbukti diterima kelompok peminat Malaysia apabila dia turut mencipta lagu Break dan IDLYA buat penyanyi Misha Omar. Lagu tersebut menjadi kolaborasi pertama antara dua figura muzik itu.

4. Judika

Pemilik suara lantang ini mula dikenali di Malaysia selepas kemunculannya dalam pertandingan nyanyian Indonesian Idol sebelum membina nama sebagai antara penyanyi balada paling berjaya di Indonesia.

Lagu seperti Aku Yang Tersakiti, Mama Papa Larang, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan Cinta Karena Cinta sering menjadi siulan pendengar Malaysia serta mendapat putaran tinggi di stesen radio tempatan.

Selain aktif mengadakan konsert di Malaysia, Judika juga beberapa kali muncul sebagai juri dan artis jemputan dalam program hiburan tempatan, menjadikan namanya semakin dekat di hati peminat Malaysia.

Kolaborasi bersama artis Malaysia

Judika pernah merakamkan lagu duet Kisah Ku Inginkan bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza. Lagu tersebut menerima sambutan hangat dan berjaya memenangi kategori Kolaborasi Terbaik di Anugerah Planet Muzik, sekali gus menjadi antara duet Malaysia–Indonesia paling berjaya dalam era moden.

Judika juga beberapa kali berkongsi pentas bersama Shila Amzah menerusi konsert dan acara hiburan di Malaysia, selain turut mempunyai lagu duet berjudul Tentang Rahsia.

5. Anggi Marito

Mewakili generasi baharu muzik Indonesia, Anggi Marito semakin mendapat perhatian peminat Malaysia menerusi vokalnya yang penuh emosi dan lagu-lagu yang mudah menyentuh hati.

Namanya melonjak menerusi Tak Segampang Itu yang menjadi fenomena di platform penstriman digital serta media sosial di Indonesia dan Malaysia. Kejayaan lagu itu disusuli karya seperti Cara Mencintaimu dan Aku Bukan Untukmu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi muda Indonesia yang sedang meningkat naik di rantau ini.

Kolaborasi bersama artis Malaysia

Anggi Marito bergandingan dengan penyanyi, Ernie Zakri menerusi lagu Kisah Penuh Kecewa, sekali gus menjadi antara kolaborasi terkini yang mengukuhkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia.