
Bermula dengan sebuah kemalangan langgar lari pada waktu subuh di bulan Ramadan, drama digital berjudul ‘Suara Sunyi Di Subuh’ membina naratif tentang takdir mempertemukan empat insan asing dalam satu garis masa yang sama.
Artikel Berkaitan: Black Hanifah Dakwa Ditipu Sebelum Konsert, Bakal Ambil Tindakan Undang-Undang
Impian Black jadi penyanyi

Insiden itu menjadi pemangkin kepada perubahan hidup, sekali gus menguji rasa bersalah, tanggungjawab dan makna peluang kedua.
Drama ini dilakonkan oleh Imran Aqil, Fahrin Ahmad, Danish Iskandar dan Hanna Halim dengan masing-masing membawa watak dengan latar kehidupan berbeza tetapi berakar pada konflik realistik masyarakat hari ini.
Watak bernama Black digambarkan sebagai rider penghantar makanan yang menyimpan impian besar untuk bergelar penyanyi, namun terperangkap dalam kekangan hidup.
Watak ini jelas menjadi nadi emosi drama, apatah lagi apabila diinspirasikan daripada kisah sebenar penyanyi dan usahawan, Black Hanifah.
Penggunaan lagu Ramadan nyanyian Black sebagai runut bunyi utama menambah lapisan emosi dan menjadikan perjalanan watak ini terasa lebih tulen.
Sharil pula merupakan pengurus pejabat yang sanggup meninggalkan kestabilan kerjaya demi mengejar impian membuka bengkel motosikal sendiri, satu keputusan yang menggambarkan konflik antara realiti dan cita-cita.
Adam, anggota bomba yang komited dengan tugas, berdepan tekanan keluarga untuk meninggalkan kerjaya beruniform, manakala Linda tampil sebagai jururawat yang memikul beban besar menjaga adik penghidap epilepsi.
Muhasabah dan insaf

Insiden ‘hit-and-run’ melibatkan wanita hamil memaksa keempat-empat watak ini bekerjasama, bukan sekadar untuk merungkai kebenaran, tetapi juga untuk berdepan trauma dan konflik dalaman yang selama ini dipendam.
Sepanjang Ramadan, hubungan yang bermula dengan rasa curiga perlahan-lahan berubah menjadi ikatan persahabatan.
Namun dari sudut kritis, perkembangan emosi ini ada kalanya terasa terlalu cepat, seolah-olah konflik besar diselesaikan dengan mudah demi menyesuaikan diri dengan format episod pendek.
Walaupun begitu, latar Ramadan dimanfaatkan sebagai simbol muhasabah dan keinsafan. Drama ini jelas mahu mengajak penonton bertanya sama ada pertemuan mereka sekadar kebetulan atau sebenarnya satu teguran Tuhan.
‘Suara Sunyi Di Subuh’ merupakan terbitan Mantayay Sdn Bhd dan mula ditayangkan pada 19 Februari lalu secara eksklusif di TikTok dan Instagram @terpalingcerita, dengan dua episod baharu setiap hari sepanjang Ramadan.








