Sudah dikategorikan sebagai pelakon gred A, Ummi Nazeera mengakui dia masih menghadiri kelas lakonan sebagai usaha untuk terus memperkemas mutu lakonan serta menimba ilmu daripada tenaga pengajar.

Artikel Berkaitan: Ummi Nazeera Kongsi Dua Hadis, Dr Izzar Selit Komen ‘Sweet’ – ‘Saya Suka Orang Yang Suka Hadis Ini

Kelas lakonan

Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 36, berkata, dia tidak mahu berhenti belajar kerana setiap watak dan naskhah hadir dengan tuntutan serta pendekatan yang berbeza.

Setiap orang ada cara yang berbeza. Kadang-kadang mungkin mereka belum jumpa cikgu yang sesuai dengan mereka atau sesuai dengan cara pemahaman mereka.

Macam saya, saya sudah berjumpa dengan cikgu yang sesuai. Saya juga suka belajar daripada ramai cikgu. Buat masa ini, saya selesa dengan cikgu Fatimah Abu Bakar. Sebab kita boleh mempelbagaikan lagi cara lakonan.

Saya sangat terbuka kepada perkara itu sebab ini sesuatu yang saya suka. Apabila kita suka sesuatu, kita mahu ada beberapa variasi, bukan hanya menggunakan satu cara.

Ummi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon filem Langit 2 Warna yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.

Berkongsi lanjut mengenai kepentingan menghadiri kelas lakonan, ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan setiap watak memerlukan pendekatan dan pemahaman yang berlainan serta percaya cabarannya juga berbeza.

Setiap karya berbeza dan pemahaman watak juga berbeza. Cara menangis untuk setiap watak juga berbeza. Air mata bukan dikeluarkan hanya kerana ingin dikeluarkan. Air mata keluar mengikut apa yang dirasai.

Untuk saya, pemahaman untuk satu karakter itu sangat penting supaya rasa itu sampai. Sebab itu saya masih masuk kelas lakonan. Saya mahu pandangan daripada orang luar. Saya tidak akan berhenti belajar tentang lakonan.

Filem Langit 2 Warna yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya Erma Fatima itu turut menampilkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Reza Rahadian, Christine Hakim, Datin Seri Paduka Umie Aida, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi.

Filem berkenaan bakal menjalani penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Mesir, sebelum dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.

Naskhah yang mengisahkan tentang konflik cinta, agama dan keluarga itu akan menyaksikan Ummi memainkan watak bernama Innara.