berita

Suka Kumpul Sampah Sampai Berbau, Majlis Perbandaran Terpaksa Bersihkan Rumah Pasangan Degil Buat Kali Ketiga

July 21st, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Majlis Perbandaran Manjung (MPM) terpaksa melakukan kerja pembersihan dan mengeluarkan timbunan sampah di kediaman satu pasangan di Taman Bintang, Pantai Remis, Manjung, buat kali ketiga kerana mengganggu penduduk setempat.

Terpaksa guna kompektor, backhoe dan lori roro

Dalam satu kenyataan, MPM memaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan telah dilakukan di kawasan hadapan, tepi dan lorong belakang rumah itu.

Keseluruhan kerja pembersihan dan mengeluarkan timbunan sampah di kawasan rumah itu telah mengambil masa lebih kurang dua jam setengah.

Kerja-kerja pembersihan yang bermula pada jam 8.30 hingga 11.00 pagi dilakukan susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat berkaitan keadaan persekitaran rumah yang kotor dan dipenuhi sampah daripada pelbagai barangan lusuh hingga menyebabkan kacau ganggu.

Kerja-kerja pembersihan yang melibatkan kawasan hadapan dan tepi serta lorong belakang premis kediaman tersebut dibantu oleh sebuah lori kompektor, backhoe dan lori roro.

Menurut kenyataan, MPM sudah beberapa kali menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah itu dan mengeluarkan notis kacau ganggu serta notis ingkar arahan.

MPM sebelum ini telah mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik rumah supaya membersihan kawasan rumah daripada sampah sarap tersebut. Kemudian, MPM sekali lagi mengeluarkan kompaun kepada pemilik rumah kerana gagal mematuhi arahan notis tersebut.

Bukan sahaja mencacatkan pemandangan, sampah yang bertimbun di rumah berkenaan juga menyebabkan halangan, selain mengeluarkan bau yang kurang enak.

Tindakan tersebut berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang-barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam.

Sumber: Majlis Perbandaran Manjung

SKIP THIS AD ×